Seorang lelaki yang bertindak menayang pistol mainan melalui tingkap kereta ketika memandu berdekatan pusat beli-belah One Utama menghala ke Tol Lebuh Raya Damansara-Puchong di Petaling Jaya, mengundang padah selepas dia ditahan polis pada Ahad.
Kereta & ‘pistol’ dirampas
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, ‘aksi’ suspek berusia 28 tahun itu dirakam seorang pengguna jalan raya yang lain dalam kejadian sekitar jam 6.15 petang berhampiran kompleks beli-belah berkenaan.
Pada jam 7.03 malam 29 Mei lalu, polis menerima laporan berkenaan seorang lelaki yang sedang memandu kereta jenis Proton Wira berwarna merah mengeluarkan pistol dari tingkap dan menghalakan ke atas.
Bertindak atas maklumat, pada jam lebih kurang 10 malam sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Petaling Jaya telah menahan seorang lelaki tempatan di sebuah apartmen di Bandar Sri Damansara, Kuala Lumpur.
Fakhrudin berkata, hasil soal siasat, suspek mengaku terlibat dalam kejadian tersebut dan mendakwa pistol berkenaan merupakan pistol mainan.
Suspek mendakwa bahawa pistol mainan berharga RM2.40 itu adalah milik anak buahnya yang berumur empat tahun dan mendakwa sedang bermain dengan anak buahnya itu ketika kejadian.
Polis merampas sebuah kereta jenis Proton Wira serta pistol mainan berwarna hitam-coklat bagi membantu siasatan. Suspek mempunyai satu rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah, dan direman dua hari bermula Isnin untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 26 Akta Senjata 1960.
Video
Sumber: Sinar Harian