Seorang lelaki di Britain telah mengemukakan tuntutan saman sebanyak RM1 juta terhadap pemilik sebuah gerai makan kerana mendakwa menyebabkan dia mengalami masalah kentut tanpa henti sejak makan sandwic yang dibeli di premis berkenaan lima tahun lalu.
Terlantar selama lima minggu
Foto: Sekadar gambar hiasan
Menerusi laporan Times Now, Tyrone Prades membeli sandwic itu pada bulan Disember 2017 ketika melawat sebuah pasar Krismas di Birmingham bersama isteri dan anak-anaknya. Menurut peguam, Robert Parkin, anak guamnya mengalami kekejangan pada perut, demam, muntah dan cirit-birit beberapa jam selepas makan sandwic tersebut. Difahamkan , Prades telah terlantar di atas katil selama lima minggu akibat jangkitan bakteria salmonella.
Robert turut berkata, Prades mengalami masalah kembung perut yang kerap dan tidak terkawal sejak kejadian itu. Dia juga tidak boleh mengawal kentut. Susulan daripada masalah itu, Prades berasa malu sekiranya berada di khalayak ramai. Lebih teruk, Prades akan kerap terjaga pada waktu malam.
Perutnya juga sering mengeluarkan bunyi aneh selepas kesakitan itu reda. Prades mengalami masalah kembung perut melampau secara berterusan. Perutnya juga terus mengeluarkan bunyi sehinggakan tidurnya terganggu. Gejala-gejala yang berterusan itu telah mengubah kehidupannya.
Sementara itu, peguamcara bagi Frankfurt Christmas Market Ltd, Philip Davy memaklumkan, pegawai kesihatan alam sekitar ada menemui bakteria e-coli pada pisau yang digunakan dalam menyediakan sandwic tersebut, namun bukan salmonella seperti yang didakwa. Tambahnya, disebabkan Prades tidak mendakwa bahawa dia dijangkiti oleh e-coli, dia perlu membuktikan diri dijangkiti bakteria itu bagi membolehkannya menerima wang tuntutan saman. Syarikat yang menyediakan sandwic itu dalam masa sama menafikan dakwaan Prades dan kes tersebut akan dibicarakan di mahkamah.
Sumber: Times Now