Pelakon dan penyanyi terkenal, Nabila Razali meluahkan rasa syukur kerana tercalon Top 5 bagi kategori Penyanyi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-35.
Kali pertama bergelas finalis ABPBH
Pelantun lagu Pematah Hati ini akui tidak sangka dirinya mampu bertanding dalam kategori yang sama dengan empat lagi penyanyi berbakat besar iaitu Siti Nordiana, Ernie Zakri, Aina Abdul dan Wany Harita.
Tambah penyanyi berusia 32 tahun ini lagi, ini merupakan kali pertama dirinya bergelar finalis ABPBH setelah hampir 10 tahun melibatkan diri dalam dunia seni.
Secara jujur, sejak kali pertama masuk dalam industri seni, saya simpan impian bergelar finalis ABPBH.
Harus diakui mereka memiliki vokal mantap, unik dan tersendiri. Jadi, sudah tentu, saya amat terkejut, bagaimana saya boleh terselit dalam senarai hebat itu. Apa pun, saya bersyukur atas rezeki yang diberi ini.
‘Saya sudah lali dengan kecaman’
Apabila ditanya mengenai responnya berhubung kecaman netizen yang sering menyentuh kemampuan vokalnya, Nabila memberitahu bahawa itu adalah cabaran yang perlu dilalui sebagai anak seni. Ujarnya lagi, dia tidak merasa rendah diri apabila dibandingkan dengan calon yang lain.
Saya sudah lali dengan kecaman. Ia menjadi asam garam anak seni. Apa yang penting, saya perlu terus menghasilkan produk berkualiti. Biar apa pun kontroversi, biasanya orang di luar tidak akan bercakap lama.
Dalam pada itu, Nabila mengucapkan terima kasih kepada ABPBH atas pencalonan ini dan kepada semua individu termasuk peminat yang mengundi serta menyokong kerjayanya sebagai anak seni.
Saya tidak letak harapan kerana bagi saya, bolos Top 5 sudah membuatkan saya gembira . Ini adalah salah satu daripada berita yang amat baik buat kerjaya saya tahun ini