berita

Lepas Jadi ‘Ikon’ Masakan, Sugu Pavithra Bakal Digelar Sebagai Ikon Anak Bandar Raya Ipoh Pula!

July 21st, 2020 | by Shahira
Kini Trending

Selepas satu demi satu kejayaan yang diraih, kini pasangan Youtuber yang sedang melonjak naik iaitu Sugu Pavithra bakal diangkat menjadi Ikon Anak Bandar Raya Ipoh Tahun 2020. Wah! Tahniah diucapkan buat Pavithra dan suami.

Pengiktirafan buat anak jati Perak

Menerusi laporan yang dipetik daripada Free Malaysia Today (FMT), pengiktirafan tersebut diberikan khas oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sempena sambutan Hari Bandaraya Ipoh pada tahun depan. Menurut Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin, jika diikutkan pengiktirafan tersebut akan diberikan pada sambutan majlis pada tahun ini tetapi disebabkan penularan Covid-19, maka semua ikon akan diraikan pada tahun hadapan.

Tambahnya lagi, pihak MBI merancang untuk memberikan penghargaan kepada sekurang-kurangnya 100 anak jati Perak yang berjaya menerusi bidang usahawan, seni, pendidikan dan sebagainya. Tetapi sebagai langkah permulaan, mereka akan memberikan kepada 10 orang individu termasuk Sugu Pavithra secara berperingkat kerana mereka ini berjaya mendapat pengiktirafan dari dalam dan luar negara selain telah memberi banyak sumbangan.

Sugu Pavithra berjaya dikenali ramai

Bercerita lanjut mengenai itu, Datuk Rumaizi mengakui bahawa Pavithra yang merupakan anak kelahiran Buntong ini layak digelar ikon kerana prestasi yang ditunjukkan dalam penghasilan video masakan di Youtube sangat memberangsangkan sehingga mendapat perhatian kebanyakan rakyat Malaysia.

Setiap anak bandar raya Ipoh kita akan bagi pengiktirafan seperti Michelle Yeoh sebelum ini. MBI ikhlas memberikan pengiktirafan ini kepada Pavithra kerana berjaya dikenali ramai dan resepi masakan mereka menjadi ikutan ramai ketika ini.

Sementara itu, pasangan Youtuber terkenal ini sempat meluahkan rasa penghargaan kepada MBI atas pengiktirafan tersebut selain berterima kasih kepada semua pihak yang menyokong mereka.

Sumber: Free Malaysia Today (FMT), The Star

SKIP THIS AD ×