berita

‘Pergi Cari Mummy Dulu, Nanti Papa Datang..’ – Sempat Tengok Porno, Lelaki Bunuh Anak & Isteri Hamil

November 16th, 2020 | by Shahira
Kini Trending

Seorang bekas ejen hartanah di Singapura telah dijatuhi hukuman mati mandatori setelah didapati bersalah membunuh isterinya yang sedang hamil enam bulan dan anak perempuannya berusia empat tahun pada 20 Januari 2017 yang lalu. Insiden kejam itu berlaku di kediaman mereka yang terletak di flat Woodlands, Singapura.

Suspek bertengkar dengan isteri

Menurut laporan Malay Mail, pasangan ini telah berkahwin pada tahun 2009 dan ini merupakan perkahwinan kedua untuk Choong Pei Shan dan suspek, Teo Ghim Heng. Pada tahun 2015, Teo merupakan seorang ejen hartanah yang berjaya namun tidak lama selepas itu, pendapatannya semakin berkurang disebabkan pasaran harta tanah tidak stabil pada ketika itu.

Berikutan daripada itu, pada tahun 2016, Teo telah bertukar pekerjaannya sebagai penyelaras jualan. Tetapi kewangan mereka sekeluarga masih tidak stabil dan membuatkan Teo memilih untuk berjudi dan seterusnya terperangkap dengan hutang berjumlah hampir sekitar S $ 120,000 (RM366,989).

Hal ini menyebabkan Teo dan Choong sering bertengkar. Malah semasa pertengkaran yang berlaku pada 18 Januari 2017, Teo telah mengungkit mengenai hubungan ‘luar biasa’ yang dilakukan oleh Choong dengan lelaki lain pada tahun 2014 yang lalu. Sehinggakan Teo juga dikatakan seakan mengesyaki bahawa Zi Ning itu bukanlah anak kandungnya.

Konon buat perjanjian bunuh diri

Pada 20 Januari 2017 iaitu pada pagi hari kejadian, Teo dikatakan tidak menghantar Zi Ning ke sekolah disebabkan bayaran yuran sekolah anaknya itu tertunggak. Malah pada pagi itu juga, Choong dikatakan telah menjatuhkan maruah Teo sebagai seorang bapa di hadapan anaknya sendiri. Choong memberitahu Zi Ning bahawa Teo itu seorang bapa yang tidak berguna, ‘(Anak), lihatlah betapa tidak berguna ayahmu’. 

Disebabkan ungkapan itu, Teo tidak dapat menahan kemarahan dan telah mencekik Choong menggunakan tuala selama 15 minit sehingga isterinya itu meninggal dunia. Teo kemudian melakukan tindakan yang sama ke atas anak perempuannya yang sedang bermain dan menonton televisyen di dalam bilik sambil berkata ‘Pergi cari mummy dulu, nanti papa datang’. Teo memaklumkan dia sudah membuat perjanjian bunuh diri dengan isterinya itu. Tetapi segala-galanya terjawab selepas Teo sendiri mengaku membunuh dan mencekik anak dan isterinya itu.

Dalam perbicaraan sebelum ini, Teo mendakwa dia juga ingin membunuh diri dengan berbaring di sebelah anak dan isterinya tetapi hasratnya itu tidak kesampaian kerana tidak tahan dengan kemarakan api yang sangat panas. Difahamkan, Teo juga telah berkali-kali mencuba untuk membunuh diri dengan cara menelan pil parasetamol  dan memotong pergelangan tangannya tetapi usahanya itu tidak berjaya.

Sempat tulis ‘nota’ bunuh diri

Di mahkamah, Teo mengaku telah menulis empat nota bunuh diri dan selama tujuh hari selepas pembunuhan, Teo telah menghabiskan masanya dengan tinggal bersama mayat dan menonton televisyen, Youtube dan pornografi  sebelum bertindak membakar kedua-dua mangsa di dalam bilik tidur. Mayat kedua-dua beranak yang telah hangus itu hanya ditemui seminggu kemudian iaitu pada hari pertama sambutan perayaan Tahun Baru Cina.

Bercerita lanjut mengenai itu, Teo memaklumkan memandangkan pada ketika itu perayaan Tahun Baru Cina bakal menjelang, maka kebanyakan saudara mara dan ahli keluarga turut bertanya kepada Teo dan Choong mengapa mereka tidak datang berkumpul bersama-sama dengan ahli keluarga lain. Teo menggunakan telefon bimbit isterinya telah memberi pelbagai alasan dan berbohong mengenai ketidakhadiran mereka sekeluarga.

Dia memaklumkan bahawa Choong mengalami sakit perut dan perlu mendapatkan rawatan di hospital. Namun, pada hari pertama perayaan, abang Choong telah menghubungi pihak polis selepas terhidu satu bau ketika datang ke flat yang didiami Choong. Difahamkan, dia ke sana selepas kakaknya tidak menjawab panggilan telefon mahupun mesej serta tidak berkunjung ke rumah keluarga pada malam perayaan.

Siap tukar gambar Facebook isteri lagi

Walaupun begitu, pihak pembelaan mendakwa bahawa Teo mengalami masalah depresi yang sangat teruk. Tetapi dakwaan itu telah ditolak oleh hakim. Hal ini kerana, berdasarkan tingkah laku yang ditunjukkan oleh Teo seolah-olah dia tidak mengalami depresi. Pakar psikiatri turut memaklumkan bahawa Teo berada dalam keadaan sedar dan tidak mengalami masalah depresi ketika melakukan perbuatan kejam itu.

Malah sebelum ini, Teo juga didapati sering menghantar mesej cinta kepada isterinya dan melayari laman web pornografi sebanyak 132 sehari sebelum kejadian. Hal ini bertentangan dengan dakwaan Teo yang mendakwa dirinya sudah tidak minat dengan hubungan cinta dan seks.

Selain itu, Teo sentiasa menunjukkan mood yang positif walaupun pada ketika itu dia sedang berhadapan dengan masalah kewangan. Malah, selepas pembunuhan berlaku, Teo masih berani mengakses Facebook isterinya dan menukar gambar di Facebook seolah-olah ingin menunjukkan bahawa wanita itu masih hidup.

Berikutan daripada itu, pada 12 November 2020 yang lalu, hakim telah menjatuhkan hukuman mati mandatori kepada Teo Ghim Heng kerana didapati bersalah membunuh isteri yang sedang hamil enam bulan dan anak perempuannya berusia empat tahun. Walaupun begitu, peguam Encik Eugene Thuraisingam, Encik Suang Wijaya dan Encik Johannes Hadi akan mengemukakan rayuan terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan.

Sumber: Malay Mail, Asia One, Mediacorp

SKIP THIS AD ×