berita

Loloskan Diri Dari Lokap Mahkamah, Long Tiger Kini Diburu Polis

December 16th, 2021 | by Shahira
Kini Trending

Seorang lelaki berketurunan Rohingya yang dikenali dengan panggilan Long Tiger kini diburu polis selepas berjaya melarikan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak semalam.

Long Tiger lolos lokap

Memetik laporan Harian Metro, Long Tiger atau nama sebenarnya Abd Hamim Ab Hamid telah melarikan diri dari lokap dalam keadaan tangannya bergari. Menurut Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohd Fadhil Minhat, pihak polis kini menjalankan Ops Tutup di semua jalan keluar dan masuk daerah Tangkak bertujuan untuk mengesan suspek.

Usaha mengesan suspek masih dijalankan polis serta khidmat anjing pengesan K9 turut digunakan selain sekatan jalan raya (SJR).

Siasatan awal mendapati lelaki terbabit melarikan diri melalui pintu utama mahkamah serta menghilangkan diri sekitar semak samun berhampiran walaupun usaha mengesannya sudah dilakukan.

Dalam kejadian itu, suspek memakai baju T cerah, berseluar panjang berwarna coklat serta memakai selipar. Siasatan berhubung kes ini masih dijalankan. Jika terdapat unsur kecuaian, tindakan tegas akan dikenakan kepada mana-mana pihak termasuk anggota polis yang mengiringi suspek. Kes disiasat mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya kepada balai polis berdekatan atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak di talian 06-9781222, Hotline IPD Tangkak, 06-9785222 atau mana-mana IPD.

Sumber: Harian Metro

SKIP THIS AD ×