berita

Lufya Omar Tak Malu Mengaku ‘Potong Usus’, Dah Rujuk Dengan Ustazah Mengenai Hukum – ‘Saya Kurus Bukan Sebab Nak Cantik’

January 3rd, 2022 | by Zulaikha
Kini Trending

Tanpa rasa segan silu, penyanyi dan pelakon Lufya Omar mendedahkan dia melakukan pembedahan bariatrik atau potong usus selepas berat badannya mencecah 85 kilogram (kg).

Anak tegur mummy dah gemuk

Menurut Lufya, 36, dia nekad melakukan pembedahan pada November lalu selepas sudah berusaha melakukan pelbagai cara termasuk diet dan bersenam.

Katanya, dia tidak sedar tubuh badannya makin membesar sehinggalah ditegur anak tunggalnya, Laana Haura yang berusia lima tahun.

Saya memang dari kecil ada masalah asma. Tetapi, sejak beberapa tahun kebelakangan, saya mula dapati badan mula sakit-sakit dan penyakit asma itu semakin ketara. Jalan sedikit pun jadi mengah, jadi saya pelik.

Mulanya saya tak perasan perubahan badan yang kian berisi sehinggalah, anak perempuan yang berusia lima tahun menegur. Katanya, ‘kalau mummy kurus, mesti jadi macam patung Barbie.

Rasa khuatir jugalah, adakah saya dah gemuk sangat? 85 kg rasanya tidaklah terlalu berat, tetapi badan mula rasa sakit-sakit. Saya buat pembedahan ini pun dengan nasihat doktor, dan lama juga ambil masa untuk berfikir.

Selepas sebulan, pembedahan ini berjaya menurunkan sebelas kg. Daripada 85 kg, kini, berat saya 74 kg. Dahulu, diet dan bersenam selama enam bulan hanya turun 2 kg sahaja. Kini, saya mahu turun berat badan 10 kg untuk capai berat badan seimbang.

Rujuk dengan ulama sebelum buat

Sedar dengan skeptikal orang ramai malah ada yang mendakwa pembedahan ini haram dari segi agama, pemilik nama Lutfyah Sheikh Omar berkata dia sudah merujuk dengan ulama untuk mendapatkan kepastian.

Kata Lufya, pembedahan tersebut dibenarkan dalam Islam asalkan niat untuk kepentingan kesihatan.

Saya tahu, sesetengah artis dan selebriti yang melakukan proses ini ada kepentingan dan cara mereka sendiri. Ada yang tak berani nak beritahu kepada umum.

Mungkin mereka ada masalah kesihatan tapi tak nak kongsikan sebab rasa malu. Saya pula jenis yang suka berkongsi. Saya kurus bukan sebab nak cantik, tetapi demi kesihatan.

Ya, saya faham, mungkin ada yang tak nak kongsi itu sebab ada pihak yang skeptikal dan katakan proses pembedahan ini haram sedangkan saya sendiri sudah bertanya pada ustaz dan ustazah, ia dibenarkan dalam Islam jika tujuannya untuk kesihatan.

Lufya berkata demikian semasa ditemui pada majlis minum petang bersama Pakar Bedah Bariatrik terbaik Asia Pasifik, Dr. Mustafa Mohammed Taher di sebuah restoran di ibu kota, pada petang Sabtu.

Kurus bukan untuk kahwin

Diusik sama ada kurus demi memikat jodoh, pelakon drama Umairah ini belum terfikir untuk menamatkan zaman janda dalam masa terdekat.

Kata Lufya, keutamaan sekarang adalah untuk membesarkan Haura selain ingin kembali aktif dalam industri seni selepas sekian lama berehat.

Tak adalah, saya memang buat untuk kesihatan. Bukan sebab nak kahwin atau apa. Nak rasa lebih positif sebab tak ada perempuan yang suka bila dirinya terasa murung apabila mengenangkan sesuatu yang tidak menggembirakan dirinya.

Soal jodoh, kalau dulu saya mungkin sekat, tapi sekarang diri lebih terbuka. Kalau Allah SWT bagi saya jodoh, InsyaAllah saya terima. Cuma ia tidaklah jadi keutamaan sekarang.

Anak tetap jadi keutamaan saya. Lagi satu, Insya-Allah, kalau tiada aral dan atas izinNya, saya nak buat kemunculan semula dalam industri. Masih ada yang belum tercapai dalam bidang ini dan saya nak teruskan hasrat itu.

Terdahulu, Lufya mendirikan rumah tangga dengan seorang doktor perubatan estetik, Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum pada 26 November 2016 dan hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan Laana Haura.

Bagaimanapun, perkahwinan itu tidak bertahan lama dan kedua-duanya membuat keputusan untuk bercerai pada 17 Jun 2020.

Sumber: Instagram @lufyalaana

SKIP THIS AD ×