Berita gembira buat penggemar drama tempatan! TV3 Malaysia menerusi slot Akasia dan strim iQIYI bakal menyajikan korang semua drama Luruhnya Bunga Cinta.
Artikel Berkaitan: Akasia TV3 Kembali Dengan Adaptasi ‘Autumn In My Heart’, Redza Rosli & Tracie Sinidol Jadi Pelakon Utama Luruhnya Bunga Cinta
Drama ini merupakan adaptasi daripada siri drama popular Korea yang berjudul Autumn in My Heart.
Luruhnya Bunga Cinta
Luruhnya Bunga Cinta adalah drama bersiri terbitan Global Station Sdn Bhd yang ditaja oleh Nivea bakal menemui penonton bermula 19 September 2023, setiap hari Isnin hingga Jumaat pada pukul 7.00 malam menerusi slot Akasia dan strim di iQIYI satu jam selepas siaran di TV3.
Drama bersiri 20 episod ini diarahkan oleh Muhamad Riza Baharudin dan penulisan skrip oleh Hafiz Halim, Intan Zarina Mohd Yasin dan Farah Bani.
Luruhnya Bunga Cinta dibintangi oleh pelakon-pelakon tanah air yang berbakat seperti Redza Rosli (Nuh), Tracie Sinidol (Nuha), Nabila Razali (Sara), Bella Luna (Aleen), Auni Yusrii (Aara), Aniq Durar (Awal) dan ramai lagi.
Dua gadis bertukar takdir?
Drama ini mengisahkan dua gadis iaitu Nuha (Tracie Sinidol) dan Aara (Auni Yusri) telah tertukar keluarga tanpa sengaja sejak bayi. Mereka berdua kemudiannya dibawa pulang oleh keluarga yang berasingan. Nuha membesar dengan abangnya, Nuh (Redza Rosli) di rumah agam milk Jamaluddin dan Adita manakala Aara tinggal dengan abangnya, Anwar di rumah kos rendah milik Noriah.
Namun, segalanya terbongkar selepas beberapa tahun iaitu apabila Nuha mengalami kecederaan teruk dan disahkan mengidap Talasemia. Kebenaran itu akhirnya membawa Nuha dan Aara kembali kepada keluarga kandung masing-masing.
Nuh dan Nuha terpisah selepas keluarga Jamaluddin berhijrah ke luar negara. Apakah yang akan berlaku seterusnya?
Sekadar info, versi Malaysia ini juga memperkenalkan Sara, watak baharu lakonan oleh Nabila Razali yang pasti menyuntik elemen segar dalam kisah cinta yang menyayat hati ini.
Tonton di TV3 dan iQIYI
Sama-sama kita nantikan drama Luruhnya Bunga Cinta yang bakal ditayangkan di slot Akasia di TV3 bermula 19 September 2023, setiap hari Isnin hingga Jumaat, pukul 7.00 malam atau strim di perkhidmatan iQIYI 1 jam selepas siaran TV.
Penonton boleh mengakses secara percuma pada bila-bila masa melalui www.iQ.com/local atau muat turun aplikasi iQIYI di App Store dan Play Store.
Pelanggan VIP iQIYI boleh menikmati akses VIP Ekspres bagi drama ini yang membolehkan penonton untuk menonton episod terkini, 1 jam selepas tayangan di TV3 manakala pengguna percuma dapat menonton selepas 48 jam.