berita

‘Maafkan Aku Sebab Tak Dapat Selamatkan Kau’

January 20th, 2020 | by Amirul Asraf
Kini Trending

Niat untuk mengisi masa terluang lima orang sahabat ini bertukar menjadi satu tragedi yang ngeri apabila salah seorang daripada rakan mereka ditemui lemas. Kejadian yang berlaku di Sungai Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan ini meragut nyawa seorang remaja yang berusia 19 tahun iaitu Ahmad Zawawi Mohamad.

Tidak berjaya selamatkan

Menurut sahabat mangsa, Mohamad Nazmi, dia berasa sedih kerana tidak dapat menyelamatkan sahabat baiknya yang lemas dan dibawa arus sungai itu. Tambahnya, dia cuba membantu, namun tidak berjaya. Menceritakan kembali detik kejadian itu, dia memberitahu bahawa mereka sudah lama merancang percutian itu dan arwah sangat teruja.

Selepas kami tiba di pulau berkenaan, arwah ada mengajak untuk mandi sungai namun saya menolak kerana tidak membawa pakaian lain. Jadi dia turun sendirian, manakala saya dan sahabat lain hanya memerhati daripada jauh. Tidak lama kemudian, dia dilihat seperti terkapai-kapai lemas.

Saya segera mengambil kayak untuk ke tempatnya dan membaling jaket keselamatan. Malangnya dia tidak dapat mencapainya dan terus tenggelam. Nasib baik kami membawa telefon bimbit dan segera menelefon bomba untuk bantuan. Saya dan arwah bersekolah di Sekolah Maahad Muhammadi Lelaki, Kota Bharu dan sedang menunggu keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM). Kami sudah bersahabat sejak tingkatan satu lagi. Manakala tiga lagi rakan lain adalah kenalan ketika bersama-sama menjadi fasilitator dalam sebuah program.

Aku dah tunai janji

Menerusi Twitter Apih Sam, lelaki ini memuat naik beberapa posting gambar dan kapsyen yang diluahkan Nazmi selepas kehilangan sahabat tersayang. Menurut Nazmi, dia sudah meminta maaf kepada semua ahli keluarga arwah Zawawi kerana tidak berjaya selamatkan sahabatnya itu.

Tambahnya, dia turut menunaikan segala janji terhadap arwah sahabatnya itu. Antara janji yang dilakukan ialah memandikan dan mengkafankan jenazah. Selain itu dia turut menemani arwah sahabatnya itu semasa berada di dalam van jenazah hingga ke liang lahad untuk menyambut mayat. Nazmi turut mendoakan arwah sahabatnya itu tenang di sana.

Sumber: Harian Metro & Apih Sam

The following two tabs change content below.

Amirul Asraf

Senior Content Champion at Rev Media Group
I became a writer to come as close as possible to the heart of the world.

SKIP THIS AD ×