Pendakwah selebriti, PU Azman dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen, hari ini, atas empat pertuduhan pindaan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki bawah umur, dua tahun lalu.
Artikel Berkaitan: Mengaku Bersalah Buat Kelucahan Melampau, Hukuman Penjara PU Azman Ditambah 14 Bulan Lagi
Artikel Berkaitan: Rayuan PU Azman Tangguh Hukuman Ditolak Hakim, Dihantar Terus Ke Penjara Kajang
Artikel Berkaitan: PU Azman Dipenjara 24 Tahun & Dua Sebatan Atas Kesalahan Amang Seksual Remaja Lelaki
Jatuh hukuman
Menerusi laporan Harian Metro, Hakim, Datuk Surita Budin turut memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan selama dua tahun dan pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat hukuman.
Difahamkan, mahkamah menjatuhkan hukuman itu selepas Azman Syah mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan yang dibacakan pada prosiding sebutan semula kes, hari ini.
Terdahulu, Surita memaklumkan dia membuat keputusan itu dengan mengambil kira pelbagai faktor termasuk kepentingan awam melebihi faktor kepentingan tertuduh sendiri.
Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan amang seksual fizikal terhadap dua mangsa lelaki berusia 16 dan 17 tahun. Perbuatan itu dilakukan di rumah di Nilai antara 8.30 malam hingga 5 pagi pada 5 Februari 2022 dan 6 Julai 2022.
Ujar peguam, Mohamad Zahid Ahmad dalam rayuannya berkata, pengakuan anak guamnya menjimatkan masa semua pihak dan tidak perlu lagi menyambung perbicaraan.
Jelasnya, tertuduh, seorang duda memohon ampun dan maaf atas kesalahan dilakukan serta mengaku sudah insaf selain tiada kesalahan lain dan tidak pernah disabitkan dengan apa-apa kesalahan di mahkamah sebelum ini.
Tertuduh mohon hukuman pemenjaraan yang paling minimum dari tarikh beliau dijamin iaitu 9 Oktober lalu. Beliau telah dipenjara dari 27 September lalu dan sehingga kini masih menjalani hukuman penjara bagi pertuduhan di Mahkamah Klang.
Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Adzmi berkata, pengakuan salah tertuduh bukanlah satu faktor peringanan yang harus diberi kepada tertuduh.
Rasyidah Murni juga memohon mahkamah mengenakan hukuman berbentuk pengajaran bukan sahaja harus diberikan kepada tertuduh malah kepada masyarakat secara amnya.
Tertuduh merupakan pendakwah selebriti yang mana perbuatan tersebut tidak harus dilakukan oleh tokoh pendakwah seperti beliau terhadap kanak-kanak.
Pendakwaan memandang kesalahan ini bukanlah satu perkara mudah yang harus diambil keringanan dalam menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh.
Sumber: Harian Metro