Penyanyi Nabila Razali, mengakui masih belum mempunyai kekasih hati kerana mahu mengejar impian dan mengutamakan kerjayanya dalam industri seni.
‘Bella lebih fokus pada kerja’
Nabila ketika ditemui OhBulan! di majlis berbuka puasa anjuran Universal Music Malaysia, mendedahkan bahawa ada lelaki yang cuba mendekatinya namun buat masa ini, dia belum terfikir untuk mendirikan rumah tangga sebaliknya mahu fokus dengan kerjayanya.
Bella lebih fokus pada kerja sekarang tapi sekiranya ada yang ingin mengenali, Bella okay je. Dari dulu sampai sekarang, siapa yang kenal Bella diorang semua cakap Bella hardworking. Saya akan teruskan macam tu, InsyaAllah kalau ada jodoh akan datang, Bella tak akan simpan seorang.
Apabila melihat rakan artis yang lain sudah berkahwin dan mempunyai cahaya mata, penyanyi berusia 31 tahun ini percaya setiap orang mempunyai perjalanan hidup yang berbeza.
Niat pertama Bella dalam industri ni nak cari duit, nak tolong keluarga. Bella ada lah terfikir juga tapi tak adalah beria sangat. Bella rasa ada banyak lagi benda yang Bella tak buat untuk kerjaya dalam industri seni ni.
Ujar Bella lagi, dia terbuka dengan jodoh pilihan keluarga tetapi apa yang penting adalah lelaki tersebut mestilah ikhlas menyayangi selain memahami kerjayanya sebagai anak seni.
Keluarga ada tanya berkaitan jodoh tapi mereka tidak memaksa. Mereka faham Bella punya impian.
Bella akui, isu yang sedang berlaku seperti isu perceraian, kehadiran orang ketiga dalam rumah tangga sedikit sebanyak membuatkan dirinya lebih berhati-hati dalam memilih pasangan.
Sebagai info, Nabila bersama Ady Priyo baru sahaja melancarkan sebuah lagu duet mereka bertajuk Tulus di laman YouTube.