Setiap manusia di muka bumi ini sudah pasti mempunyai kisah dan perjalanan hidup yang berbeza-beza. Begitulah juga yang dilalui seorang seorang banduan akhir yang dikenali dengan nama Joe Arridy.
Siapa Joe Arridy?
Joe Arridy
Setiap banduan akhir sudah semestinya mengetahui pengakhiran hidup mereka bagaimana dan tak dinafikan, pelbagai perasaan yang bermain di fikiran mereka sama ada sedih, kesal dan sebagainya. Namun berbeza pula yang dilalui banduan akhir dari Amerika Syarikat, Joe Arridy yang digambarkan sebagai banduan paling ‘gembira’ ketika menunggu hukuman mati.
Joe Arridy menjadi banduan akhir ketika berusia 23 tahun selepas didapati bersalah membunuh seorang gadis berumur 15 tahun yang dikenali dengan nama Dorothy Drain. Joe Arridy dilahirkan pada 29 April 1915 di Pueblo. Ibu bapanya iaitu Mary dan Henry Arridy merupakan orang Syria dan telah berhijrah ke negara Amerika Syarikat pada tahun 1909.
Joe dikatakan mempunyai masalah perkembangan mental selain mengalami kelewatan dalam bercakap, tidak boleh menulis, membaca dan membezakan warna. Joe memiliki tahap IQ sebanyak 46 dan ianya secara tidak langsung menyebabkan daya pemikirannya seperti seorang kanak-kanak berusia 6 tahun.
Pada tahun 1925, ibu bapa Joe telah menghantar Joe ke sebuah institusi orang kurang upaya. Sembilan bulan kemudian, Joe telah keluar dari institusi tersebut dan pulang ke Pueblo. Tetapi lain pula yang jadinya apabila Joe dikatakan menghabiskan masanya dengan merayau merata tempat sehinggalah pada suatu hari ada pegawai patrol melihat Joe bersama beberapa pemuda lain melakukan sodomi. Selepas ditangkap, Joe dimasukkan semula ke institusi orang kurang upaya dan pada 12 Ogos 1936, Joe melarikan diri dan menghilangkan diri.
Insiden berlaku pada 15 Ogos 1936
Joe Arridy
Tiga hari kemudian Amerika Syarikat digemparkan dengan berita pembunuhan seorang kanak-kanak berusia 15 tahun. Insiden kejam yang berlaku pada 15 Ogos 1936 hanya disedari selepas ibu bapa mangsa (Dorothy Drain) baru tiba di rumah yang terletak di Pueblo, Colorado, Amerika Syarikat. Setibanya di rumah, mereka sangat terkejut apabila melihat anak perempuan mereka berada dalam keadaan yang sangat mengerikan.
Menurut sumber, Dorothy dipercayai dibunuh dengan cara tetakan kapak di bahagian kepala semasa sedang tidur. Selepas dibunuh, mangsa kemudian dicabul oleh pelaku. Ketika kejadian, adik mangsa yang berusia 12 tahun, Barbara juga berada di rumah terbabit dan turut diserang. Namun dia bernasib baik kerana berjaya diselamatkan selepas menerima rawatan meskipun mengalami kecederaan parah.
Difahamkan dua minggu sebelum insiden menimpa Dorothy, terdapat dua kejadian di mana dua wanita menjadi mangsa serangan yang serupa dengan Dorothy. Berikutan daripada itu, pihak polis telah mendapat tekanan daripada orang ramai untuk memberkas si pelaku.
Suspek pertama, Frank Aguilar
Joe Arridy
Semasa hari pemakaman Dorothy iaitu pada 20 Ogos 1936, anggota polis melihat seorang lelaki yang berada dalam keadaan tidak terurus hadir di upacara tersebut. Individu tersebut adalah Frank Aguilar (lelaki Mexico) merupakan salah seorang pekerja yang pernah dipecat oleh bapa Dorothy. Pihak polis mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena dengan Frank Aguilar dan mereka mula melakukan siasatan.
Hasil daripada pemeriksaan di rumah Frank, polis menemui sebilah kapak dan tepi tajam kapak itu sepadan dengan luka di kepala Dorothy. Barbara (adik Dorothy) mengesahkan bahawa Frank merupakan individu yang menyerang dan membunuh Dorothy. Berdasarkan keterangan, Frank merupakan satu-satunya suspek tunggal sehinggalah pada suatu hari pihak polis menerima satu panggilan berhubung pengakuan pembunuhan Dorothy.
Berikutan daripada panggilan yang diterima, pihak polis berjaya menangkap seorang lelaki yang berada di sebuah kawasan landasan kereta api di mana lelaki itu didapati berkeliaran dalam keadaannnya tidak tentu arah dan tidak terurus. Rupa-rupanya lelaki itu adalah Joe Arridy.
Berdasarkan keterangan Barbara, Joe berkemungkinan besar tidak terlibat dan langsung tidak tahu menahu tenang apa yang diperkatakannya. Kemungkinan pengakuan yang diberikan Joe adalah disebabkan digertak oleh pegawai polis ataupun dia menganggap soal siasat yang dijalankan adalah satu permainan.
Suspek kedua, Joe Arridy
Warden membacakan hukuman mati kepada Joe Arridy
Pada tahun 1937, Frank telah menjalani hukuman mati gas beracun selepas didapati bersalah dalam pembunuhan Dorothy. Meskipun Joe dan Frank tidak mengenali antara satu sama lain tetapi Joe turut didakwa terlibat dan bekerjasama dengan Frank dalam kes pembunuhan tersebut. Akan tetapi, hukuman mati terhadap Joe ditangguhkan selepas mendapat rayuan daripada seorang peguam.
Menurut sumber, sepanjang tempoh dipenjara, Joe dilihat begitu gembira dan seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku ke atas dirinya. Dia menghabiskan hari-harinya dengan bermain dengan kereta api mainan pemberian warden penjara kepadanya. Bukan itu sahaja, dia begitu riang dan ceria bersembang bersama wartawan serta banduan yang lain.
Joe pernah memberitahu bahawa dia ingin tinggal di penjara untuk seumur hidup kerana tiada sesiapa pun yang membulinya di situ. Salah seorang warden menyifatkan Joe seorang banduan akhir yang paling gembira yang pernah menjalani hukuman mati. Hal ini kerana, apabila dia dimaklumkan mengenai hukuman matinya, dia kelihatan lebih berminat dengan kereta api mainannya.
Hari terakhir Joe Arridy
Joe Arridy bermain kereta api mainan
Sehinggalah pada 6 Januari 1939, di mana jadualnya bermain dengan kereta api mainannya ‘terganggu’ dek kehadiran ibu bapa serta keluarganya datang melawat buat kali terakhir. Di kala orang lain menangis teresak-esak mengenangkan nasib yang dilaluinya, Joe masih kelihatan bingung malah selepas ahli keluarga pulang, dia sambung bermain kereta api mainannya. Menurut sumber, Joe telah memilih ais krim sebagai makanan terakhirnya.
Joe kemudian diarahkan untuk memberi kereta api mainan dan dia tersenyum sambil menyerahkan kepada seorang banduan sebelum melangkah ke bilik gas beracun. Dia tersengih ketika pengawal mengikatnya di kerusi. Hukuman tersebut berlaku dengan sangat pantas dan warden penjara dilaporkan menangis di bilik tersebut.
Pada tahun 2011 iaitu tujuh dekad selepas kematiannya, Governor Colorado telah menganugerahkan pengampunan selepas mati (posthumous pardon) kepada Joe. Dia mempercayai bahawa Joe Arridy tidak bersalah dan merupakan mangsa kepada undang undang yang tidak sistematik dan tidak adil pada ketika itu.
Sumber: New York Daily News, West Word, All That Interesting