Risaunya kalau hujan berterusan dalam tempoh beberapa hari. Lebih-lebih lagi kalau tinggal di kawasan berisiko. Takut kalau tiba-tiba banjir, tanah runtuh dan sebagainya. Walau apa pun situasi yang melanda, jangan cemas okay?
Seperti yang terjadi pada 27 Februari 2022, hujan lebat luar biasa yang berterusan telah mengakibatkan tanah runtuh. Korang nak tahu tak kisah di sebalik ini?
Misi: Kembalikan Kuasa Kenyir, Majalah 3 papar kisah tanah runtuh menarik perhatian ramai
Pada 13 Mac 2023, hari Isnin lalu, Majalah 3 telah menayangkan kejadian tanah runtuh yang merupakan episod eksklusif berjudul “Misi: Kembalikan Kuasa Kenyir”. Ramai tertarik sebab kejadian tu berlaku tahun lepas di kawasan Stesen Janakuasa Sultan Mahmud Kenyir (SJSM) milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Terengganu.
Kejadian ni memang tak diduga sampai menjejaskan operasi SJSM. Tapi masa tu pelbagai pihak bekerjasama menjalankan usaha untuk mengeluarkan warga kerja dari kawasan stesen supaya berada dalam keadaan selamat.
Tak ramai yang tahu sejauh mana bencana alam tersebut telah memberi impak kepada TNB. Di sini kami nak kongsikan sedikit apa yang kami dapat daripada episod eksklusif di Majalah 3 ni.
4 petugas TNB mengimbau kembali pengalaman terperangkap semasa tanah runtuh berlaku
Menerusi episod menarik ni, Majalah 3 kongsi pengalaman empat petugas TNB yang mengimbau kejadian terperangkap di stesen. Mereka menjadi saksi kepada kejadian tanah runtuh dan kepala air yang berlaku secara bertubi-tubi pada cerun-cerun bukit sekitar stesen.
Bayangkan batu-batu besar yang jatuh dari cerun merosakkan segala yang ada di laluannya, termasuk bangunan pencawang dan beberapa menara talian penghantaran elektrik. Takut wei!
Tetap memastikan mesin penjanaan tak mengalami kerosakan, inilah hero sebenar!
Dalam keadaan cemas, semua petugas yang terperangkap tetap berusaha memastikan bencana tak menyebabkan mesin penjanaan rosak. Sifat tanggungjawab dalam memegang amanah yang tertanam dalam diri mereka ni berjaya mengelak keadaan lebih buruk berlaku. Kagum la hero kita! Walaupun dalam situasi genting, mereka masih memastikan bekalan elektrik yang berterusan kepada pengguna.
Kejadian tanah runtuh ni telah memutuskan laluan darat dan sungai. Inilah cabaran utama untuk menyelamatkan warga kerja TNB yang terperangkap. Situasi yang cukup mendebarkan.
Dianggap misi mustahil, tapi TNB berjaya membaik pulih Kenyir 3 bulan lebih awal daripada perancangan asal!
Cabaran TNB seterusnya adalah untuk memulihkan pengoperasian stesen tersebut secepat mungkin setelah mengalami kerosakan. Sasaran diletakkan oleh TNB untuk memulihkan penjanaan kuasa stesen tersebut dalam tempoh kurang daripada 6 bulan.
Sebaliknya, kerja-kerja membaik pulih Stesen Janakuasa Sultan Mahmud telah siap tiga bulan lebih awal daripada perancangan asal dan ianya kembali beroperasi sepenuhnya pada 26 Jun 2022. Pelbagai cabaran telah ditempuh pihak TNB bagi mencapai misi yang dianggap mustahil ini.
Kalau korang nak tahu, projek hidroelektrik TNB direka untuk mencegah bencana yang lebih besar, dengan empangan yang berfungsi untuk menampung takungan air sekali gus mengelakkan banjir. Stesen hidroelektrik juga adalah penting dalam memperkukuhkan lagi usaha tenaga hijau TNB, sebab hidro merupakan salah satu kaedah penjanaan tenaga boleh baharu dan mesra alam.
Segalanya terungkai dengan terperinci dalam episod eksklusif Majalah 3 berjudul “Misi: Kembalikan Kuasa Kenyir” yang telah berlangsung pada Isnin yang lalu.
Kalau korang terlepas, dokumentari ini boleh ditonton menerusi saluran YouTube rasmi TV3 di https://www.youtube.com/watch?v=W1Mpwuue7zo dan di saluran rasmi YouTubeTNB, TENAGAOfficial di https://www.youtube.com/watch?v=UIe61fmbHSA&t=17s. Selamat menonton!