Kasih sayang dan pengorbanan seorang ibu terhadap anak-anak memang tiada tolok bandingya. Sebagai seorang anak, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga insan mulia ini terutamanya apabila mereka sedang sakit.
Terbaru seorang pengguna Facebook, Nurul Shafina ada berkongsi kisah duka apabila mengetahui ibu kandungnya sedang menghidap kanser lidah tahap 4. Apa yang lebih meruntun hati apabila ibunya itu telah menulis beberapa nota sebelum kedua matanya bengkak dan tertutup sepenuhnya.
Mak tak boleh bercakap
Menerusi perkongsian gadis ini, dia memberitahu keadaan ibunya kini sudah tidak seperti dahulu dimana kedua belah mata ibunya itu telah bengkak dan tertutup sepenuhnya. Tambahnya lagi, lidah ibunya kini sudah mengeras sehingga menyebabkan dia tidak boleh berkata-kata dan bersuara. Disebabkan itu, ibu gadis ini hanya mampu meluahkan perasaannya dan meninggalkan pesanan dengan menulis nota buat anak-anaknya.
‘Mungkin hari last mak menulis’
Mata tak nampak kabur-kabur, mungkin hari last mak menulis. Emak nak pesan anak-anak mak duduk elok-elok jangan bergaduh. Bertolak ansur sama-sama adik beradik.
Nurul Shafina turut berkongsi beberapa nukilan terakhir yang ditulis oleh ibunya . Ibunya juga turut memberitahu mungkin nota ini merupakan hari terakhir dia mampu menulis sebelum kedua matanya itu bengkak. Menceritakan kisah itu, Shafina memberitahu dia dan adik beradik yang lain pasti akan sentiasa mengingati segala pesanan dan nasihat yang ditulis ibunya.
Lidah dah keras
Lidah pun dah keras. Mak ada salah dan silap mak minta maaf semua dekat anak-anak mak. Abang pun sama, Shima minta ampun dan maaf banyak-banyak dari dulu sampai akhir, Semua anak-anak mak maafkan apa pun kesalahan.
Dalam nota tersebut, ibunya sempat berpesan kepada anak-anaknya supaya tidak bergaduh antara satu sama lain. Dia juga turut memohon maaf kepada anak-anak dan suami atas segala kesalahan yang pernah dilakukannya sebelum ini.
‘Mak dah halal air susu’
Jaga Akmal elok-elok kesian dia masih kecil lagi, mak tak boleh jaga dia. Mak kata mak dah halal semua air susu yang anak-anak minum.
Sementara itu, ibunya juga turut memesan supaya menjaga adiknya yang masih kecil memandangkan dirinya itu sedang sakit dan tidak mampu berbuat apa-apa.
Selamat pengantin baru
Fina, mak orang yang pertama nak ucapkan selamat pengantin baru buat Fina.
Sementara itu, Shafina turut meluahkan rasa sedih dan terharu kerana ibunya merupakan insan pertama yang telah mengucapkan selamat pengantin baru kepadanya. Shafina memberitahu dia sangat inginkan ibunya itu hadir dan melihat sendiri majlis perkahwinannya yang akan berlangsung nanti.
Sumber: Nurul Shafina