Kecil-kecil cili padi adalah ungkapan yang sesuai untuk diungkapkan buat jaguh cilik sukan pushbike, Maleeq Dragster apabila diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai juara terbanyak kejohanan pushbike kanak-kanak.
Artikel Berkaitan: Anak Lelaki Rita Rudaini Pecah Rekod Lagi! Kali Ini Dalam Acara Larian 200m Kejohanan Olahraga MSSD
Artikel Berkaitan: Rita Rudaini Pesan Ibu Bapa Perlu Jadi Pendengar Yang Baik, Sentiasa Berkomunikasi Dengan Anak – ‘Ambil Pengajaran Kisah Arwah Zulfarhan’
Mencatat rekod luar biasa
Maleeq atau nama penuhnya Wan Ayden Maleeq Wan Muhd. Muzri, 5, memperoleh 14 kejuaraan, termasuk memenangi gelaran juara dunia kategori lima tahun di RCS Championship, Tokyo, Jepun.
Dengan catatan rekod luar biasa ini, bapanya, Datuk Seri Wan Muhd. Muzri menyifatkan kejayaan Maleeq sebagai bukti potensi sukan pushbike dalam membentuk generasi muda.
Sebagai ibu bapa, kami berbangga dengan Maleeq. Dia juga memberi inspirasi kepada adik-beradik serta rakan-rakan seperjuangan untuk lebih berdaya saing. Semoga ini menjadi pemangkin untuk melahirkan seorang ahli sukan negara yang berjaya pada masa hadapan.
Maleeq bukan sahaja mencipta rekod baru untuk Malaysia, malah mengangkat martabat sukan pushbike tempatan ke peringkat lebih tinggi agar setanding dengan sukan kanak-kanak lain di dunia. Semoga dia terus mengekalkan prestasi cemerlangnya dan menjaga nama baik Malaysia di persada antarabangsa.
Kemenangan Maleeq
Thailand, Indonesia, Filipina, Hong Kong, dan Singapura antara negara yang mencatat kemenangan pelumba muda ini selain daripada mempertahankan kejuaaran dua tahun berturut-turut di Jepun.
Selain daripada itu, Maleeq turut memenangi kejuaraan tempatan seperti M8 Malaysia International Pushbike GP Series 2 2024 Langkawi, M8 Malaysia International Pushbike GP Series 4 2024 Petronas, dan M8 Magnificient Race 2024.
Apa yang lebih membanggakan, Maleeq menewaskan pelumba-pelumba cilik antarabangsa dalam Rockfish Cup International Championship 2024 yang berlangsung baru-baru ini.
Menurut ibunya, Datin Seri Nursyafira Mohd. Zain, Maleeq memiliki semangat juang yang tinggi walaupun pernah tercedera semasa latihan.
Ujarnya lagi, latihan sukan ini hanya dijalankan pada waktu malam untuk memberi fokus pada hari persekolahan.
Dia memang kanak-kanak yang kuat semangat. Begitu juga kakak dan abangnya, Mikael dan Mikayla, yang sentiasa menunjukkan prestasi terbaik walaupun pernah tercedera semasa perlumbaan.
Perlumbaan pula hanya pada hujung minggu agar tidak mengganggu pembelajaran mereka.
Menurut Wan Muzri, yang juga Presiden The M8 Cycling Club, Maleeq akan terbang ke Jepun sekali lagi pada Januari depan bagi menyertai Kejohanan Run Bike Series (RCS).
Maleeq akan membawa nama negara bersama abang dan kakaknya, serta tujuh pelumba lain iaitu Fayyadh, Raziq, Izz Fast, Amni, Rafif, Ilyas, dan Dayyan.
Saingan kali ini dijangka sengit, tetapi kami yakin dengan persiapan rapi, pelumba Malaysia mampu mencapai keputusan terbaik.
Mengenai masa depan Maleeq selepas sukan pushbike, Wan Muzri berkata anaknya berhasrat meneruskan langkah sebagai pelumba sukan permotoran Mini GP, hasil kerjasama antara M8 Malaysia dan ZK Racing.
Menurutnya, program ini memberi peluang kepada kanak-kanak yang berbakat untuk mengembangkan lagi sayap mereka.