berita

Manfaatkan Ramadan Tahun Ini Dengan 7 Amalan Pupuk Keihklasan #SetulusIkhlas

May 8th, 2019 | by Amat
Shout Out!

Setiap kali tiba bulan Ramadan, ramai mengambil peluang untuk melipat gandakan ibadah yang dilakukan dengan harapan memperoleh pahala dan keberkatan di bulan mulia ini. Membayar zakat, berterawih, dan bersedekah antara perkara yang sinonim dengan Ramadan.

Paling penting semua ibadah yang disebut di atas perlulah dilakukan dengan ikhlas dan penuh keinsafan. Sempena #SetulusIkhlas seiring dengan Ramadan tahun ini, kami kongsikan 7 amalan yang perlu dilakukan anda dengan ikhlas sekali gus dapat mencapai keberkatan Ramadan. Semoga terus beristiqomah!

1. Ikhlas dalam menuntut ilmu

Menuntut ilmu adalah sebuah ibadah yang sangat mulia. Malah, ilmu juga dapat membezakan setiap tindakan dan pemikiran dalam kalangan kita semua sebagai manusia. Oleh demikian, keikhlasan dalam menuntut ilmu adalah suatu perkara yang perlu dipupuk oleh kita semua.

Semakin tinggi kita belajar, semakin ikhlas kita mengamati ilmu dunia dan akhirat, maka, semakin kita mengenali siapa Pencipta dan tunduk padaNya. Seperti Firman Allah ada menyebut:-

Keihklasan dalam menuntut ilmu akan memberikan pengaruh kepada peribadi seseorang sehingga dapat dirasai dirinya akan keagongan Allah S.W.T. Pendek kata, semakin tinggi ilmu seseorang itu maka, semakin tunduk dan akur segala perintah Tuhan.

2. Bekerja dengan ikhlas kerana Allah

Sifat ikhlas itu kembali kepada hati yang mempunyai kaitan dengan niat, percakapan, perbuatan hanya kerana Allah. Tambahan, matlamat dalam melakukan sesuatu mesti tidak bercanggah dengan syariat supaya ia diterima Allah dalam apa juga pekerjaan yang kita lakukan.

Dalam skop pekerjaan, segala urusan yang dilakukan perlu ikhlas tanpa mengharapkan apa-apa pun ganjaran termasuk hadiah dan anugerah. Apabila niat kerja kita ikhlas, maka, Allah akan mempermudahkan segala urusan seharian. Seperti hadis yang diriwayatkan Imam al-Bukhari dari Umar al-Khattab yang bermaksud,

Memperolehi anugerah ‘pekerja terbaik’ atau puji-pujian merupakan bonus dari hasil kerja kita yang cemerlang. Jika kita mengharapkan ganjaran dari hasil kerja yang telah dilaksanakan, mungkin akan kecewa di lain hari sekiranya gagal memuaskan hati majikan.

3. Ikhlas berniaga

Ramai antara kita yang berminat dengan menjalankan perniagaan tidak kiralah secara online atau berniaga melibatkan bertemu pelanggan. Keikhlasan dalam berniaga perlu dititikberatkan oleh penjual dalam memberi kepuasan hati pembeli sekali gus dapat memajukan perniagaan masing-masing.

Lebih-lebih lagi di bulan Ramadan ini. Ramai yang mengambil peluang berniaga makanan dan barangan kelengkapan raya di bazar Ramadan. Justeru, peniaga perlulah bijak dalam mengira modal sesuatu produk untuk dijual dan tidak tamak untuk mengambil untung dengan meletakkan harga yang tidak wajar. Tambahan, mereka perlu membuat perbandingan harga terlebih dahulu supaya harga tersebut tidak terlalu mahal untuk pembeli.

Memberi layanan mesra dan berkomunikasi dengan baik kepada pelanggan sangat digalakkan bagi menjalin hubungan ikhlas sesama manusia.

4. Menunaikan ibadah dalam keadaan ikhlas

Ramadan ini memberi sinar dan membuka peluang untuk kita semua berebut mendapatkan redha Allah. Ramai yang mengambil peluang menunaikan solat berjemaah dan terawih di masjid.

Tapi jangan pula upload gambar ‘done terawih‘ di media sosial ye. Ingat, setiap ibadat kita tidak perlu tunjuk kepada umum. Itu antara urusan amalan kita dengan Allah SWT saja. Kalau boleh, dalam Ramadan ini didiklah diri kita dengan menjauhkan diri dari media sosial dan segala perkara negatif.

5. Saling mengingati perkara baik

Tidak salah jika kita saling menegur rakan atau kenalan terhadap perkara kebaikan. Ianya sudah boleh dianggap sebagai urusan berdakwah. Apa kata, sepanjang bulan mulia ini kita saling menegur akan perkara baik dan mencegah kemungkaran (amar makhruf nahi mungkar) demi memperolehi sebanyak mungkin pahala.

Memetik hadis yang diriwayatkan Ibnu Taimiyah rahimahullah berkata, “Segala sesuatu yang tidak didasari ikhlas karana Allah, pasti tidak bermanfaat dan tidak akan kekal.” (Dar-ut Ta’arudh Al ‘Aql wan Naql, 2: 188).

Bagi mencapai hasil yang hakiki, nawaitu di hati kita perlulah ikhlas terlebih dahulu. Lakukan kerana Allah dan agama. Bukan semata dilakukan kerana niat untuk menunjuk kebaikan atau mengelarkan diri sebagai seseorang yang warak.

6. Menjaga hubungan sesama manusia

Sesungguhnya umat Islam tidak disarankan untuk bertelagah sesama kita. Hubungan kita sebagai makhluk Allah perlu dijaga dengan baik tanpa sebarang persengketaan atau salah faham. Kerana manusia akan saling memerlukan dan melengkap antara satu sama lain.

Jadi, memaafkan kesalahan orang lain sangat digalakkan bagi mewujudkan kehidupan kita yang harmoni dan tenteram. Selain itu, kita juga perlu menjaga baik hubungan sesama Islam dari gangguan golongan kafir atau munafik. Seperti Firman Allah dalam Surah al-Mulk,

7. Mengikhlaskan niat kerana Allah

‘Ikhlas’ merupakan garis pemisah antara amalan kita diterima Allah SWT atau sebaliknya. Ada dua rukun urusan kerja yang diterimaNya termasuk nawaitu dengan niat yang betul dan cara beramal dengan tepat berpandukan sunnah dan syarak.

Antara amalan yang tidak sepenuhnya ikhlas kerana Allah SWT ialah menuntut ilmu dengan tujuan meningkatkan profesionalisme sehingga dipandang tinggi. Kedua, mengajar tentang ilmu dengan tujuan mendapatkan penghormatan. Ketiga, menziarahi pesakit dengan niat agar sendiri diziarahi semasa sakit nanti dan melakukan kebaikan agar dihormati ramai.

Setulus ikhlas

Untuk pengetahuan korang, pada tahun ini Media Prima Berhad menganjurkan kempen #SetulusIkhlas sempena bulan Ramadan dan Syawal. Pelbagai rancangan TV menarik, bazar Ramadan dan banyak lagi aktiviti menarik sempena #SetulusIkhlas ini.

Antaranya Grand Bazar Ramadan Raya yang akan dimeriahkan dengan sebanyak 436 unit booth di Bukit Jalil (16 Mei hingga 5 Jun). Jangan lupa untuk bawa bersama keluarga tersayang jalan-jalan dan membeli juadah berbuka puasa di Grand Bazar Ramadan Raya ye!

Bukan itu sahaja, acara Check-In Kampung juga akan diadakan di beberapa lokasi terpilih seperti di Sungai Besar Selangor dan Tangkak Johor. Untuk info lanjut layari www.extra.com.my/setulusikhlas. Selamat menjalani ibadah puasa.