Foto: Utusan
Lagi kes keganasan terhadap kucing. Kali ini melibatkan seorang warga emas dan anaknya yang dipercayai menembak mati kucing jirannya dengan menggunakan selaras senapang angin buatan sendiri.
Molly tak dapat diselamatkan
Kejadian di Bukit Rambai, Melaka itu berlaku kira-kira jam 2.30 petang menyebabkan suspek yang merupakan warga emas berusia 62 tahun dan anak lelakinya, 27 tahun ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati suspek bertindak menembak mati kucing berkenaan kerana marah apabila haiwan itu masuk ke rumahnya.
Kejadian kucing yang diberi nama Molly itu disedari oleh pemiliknya apabila Molly mengalami muntah darah dan terdapat luka kecil di belakang badan sebelum dibawa ke klinik haiwan.
Doktor yang merawat kucing tersebut mengatakan haiwan itu tidak dapat diselamatkan kerana kecederaan ditembak dan terdapat geguli besi di dalam badannya.
Pemilik kucing berkenaan membuat laporan polis dan tindakan lanjut dibuat oleh Cawangan (D9) Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah yang membawa kepada penahanan dua suspek.
Mengulas lanjut beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut dalam rumah suspek turut menemui 17 butir peluru penabur dan selaras senapang angin serta beberapa alatan dipercayai sebagai alat ganti senjata itu di dalam sebuah bilik.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 30 Akta Kebajikan Haiwan 2015, sabit kesalahan boleh didenda antara RM20,000 dan RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.