berita

Marah Tidur Nyenyak Diganggu, Anak Tergamak Bunuh Ibu Sendiri

August 5th, 2020 | by Shahira
Kini Trending

Seorang lelaki telah ditahan oleh pihak polis selepas disyaki memukul ibu kandungnya sehingga mati. Perbuatan kejam ini dilakukan suspek kerana berang dengan mangsa yang mengejutkannya dari tidur.

Dipukul guna objek keras

Menerusi laporan yang dipetik daripada Berita Harian, kejadian tersebut berlaku di Jinjang Utara, Kuala Lumpur. Pada awalnya, mangsa yang berusia dalam lingkungan 70-an itu baru sahaja pulang ke rumahnya sekitar jam 7:30 malam. Setibanya di rumah, dia melihat anak lelakinya sedang nyenyak tidur di dalam bilik.

Dia kemudian mengejutkan anak lelakinya tetapi tanpa disangka-sangka, tindakan itu telah mendatangkan kemarahan si anak sehingga berlakunya pergaduhan. Menurut Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner, S Shanmugamoorthy Chinniah, suspek yang berang telah memukul mangsa menggunakan objek keras.

Usaha warga emas itu mengejut anaknya mencetuskan pergaduhan sebelum mangsa dipercayai dipukul menggunakan objek keras sebelum didapati tidak sedarkan diri.

Suspek positif dadah

Susulan daripada kejadian itu, anak saudara mangsa telah menghubungi pihak polis dengan memaklumkan ibu saudaranya itu telah didera. Selepas menerima laporan, pihak polis bergegas ke lokasi kejadian dan setibanya di sana, mereka mendapati mangsa sudah terkaku dan terduduk di atas sofa.

Anggota polis yang tiba di lokasi menemui seorang wnaita dalam keadaan kaku di sofa. Pemeriksaan mendapati mangsa cedera di tangan, mata selain kesan darah di kedua-dua kaki serta luka di kepala.

Sementara itu, hasil daripada saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis ganja dan heroin. Suspek kini ditahan reman sehingga 15 Ogos untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sumber: Berita Harian

SKIP THIS AD ×