‘Terkejut’ antara ungkapan yang keluar dari mulut penyanyi Marsha Milan sewaktu mengesahkan namanya tersenarai antara penerima Anugerah Darjah Kinabalu (ADK) sempena ulang tahun Yang DiPertua Negeri Sabah (TYT) Tun Juhar Mahiruddin yang ke-71.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Giliran Marsha Milan Banggakan Malaysia! Vokal Power Bergema Di Bumi Shanghai
Artikel Berkaitan: Isu Curang Kian Merisaukan, Marsha Milan Titip Nasihat – ‘Keep Your Circle Small’
Hampir dua dekad jadi penyanyi
Menerusi temu bual bersama OhBulan! Marsha meluahkan rasa syukur sebaik sahaja mengetahui berita tersebut. Menurut Marsha, dia baru menerima warta dan masih menunggu panggilan daripada pihak istana.
Alhamdulillah, saya bersyukur sangat. Terus terang saya belum dapat panggilan daripada istana lagi. Saya memang tak sangka dan terkejut apabila dapat tahu.
Saya tak berani nak kata apa-apa kerana baru dapat warta. Apa yang saya tahu, panggilan itu akan dibuat secara berperingkat.
Tambah Marsha, dia pernah masuk ke dalam istana sebagai tetamu sebelum ini, namun belum pernah menerima sebarang anugerah secara rasmi daripada istana.
Bila dapat khabar baik macam ini, saya rasa usaha selama ini berbaloi dan memotivasikan saya untuk pergi lebih jauh dalam industri seni.
Disoal mengenai perkembangan karier seni, Marsha mengakui rezekinya tidak putus. Ujar Marsha, dia mempunyai banyak perancangan untuk tahun ini dan tahun hadapan.
Dari segi undangan persembahan, saya sangat bersyukur sebab sudah dua dekad jadi penyanyi, orang dah nampak saya serius. Saya tak nak kecewakan mereka. Banyak projek saya nak buat tapi tak tahu sempat atau tidak hujung tahun ini. Kalau tak, saya bawa ke tahun hadapan.
Saya nak buat kompilasi album. Lagu-lagu yang pernah saya keluarkan bersama Alternate Records seperti Hello dan lagu-lagu versi Anugerah Juara Lagu (AJL) seperti Cinta, Darah dan Kemabli Terang.
Lepas itu, baru saya nak buat lagu solo. Saya juga bercita-cita nak keluarkan lagu Boreno. Bukan untuk Sabah sahaja tetapi untuk Sarawak juga. Cuma masih belum dapat material. Baru ajak beberapa orang untuk projek ini.
Sebagai anak kelahiran Sabah, Marsha turut memberitahu dia perlu menggunakan platform yang sedia ada untuk meneruskan budaya negeri kelahirannya.
Mahu tolong artis Sabah
Sebagai salah seorang penyanyi senior asal dari negeri di bawah bayu, pelantun suara ‘Hilang’ ini turut berkata, dia mahu membantu beberapa orang artis baharu dari negeri kelahirannya itu.
Sudah pasti saya mahu bantu mereka yang mempunyai bakat di Sabah. Terus terang saya cakap, saya ada satu syarikat rakaman yang kecil. Baru nak masuk setahun.
Artis pun baru seorang sahaja iaitu Fanzi Ruji. Pada mulanya, saya tiada berniat nak buka syarikat rakaman. Oleh kerana, saya nak tengok ramai artis terutama dari Sabah dan Sarawak terus menyanyi, saya ambil langkah untuk tubuhkan syarikat tersebut.
Saya gembira lagu Fanzi dah masuk carta muzik-muzik. Saya nak tengok mereka pergi jauh. Saya harap syarikat rakaman ini boleh gali bakat mereka semua.
Di akhir temu bual, OhBulan! sempat mengusik Marsha mengenai perancangan untuk membuat konsert solo. Jelas Masrha, perancangan tersebut sudah ada cuma masih dalam fasa perbincangan lagi.
Terus terang saya takut nak buat. Ramai yang pelawa saya untuk buat konsert dan saya hampir nak buat showcase hari tu. Tapi informasi yang saya dapat timeline terlalu singkat dan terpaksa tunda. Syarikat rakaman pun suruh saya buat konsert. Kita doa tahun depan, InsyaAllah.
Ujar Marsha lagi, dia mahu memberikan yang terbaik sekiranya mengadakan konsert nanti.
Dah nak masuk 20 tahun dalam industri seni, saya rasa dah cukup matang untuk memberikan sesuatu yang terbaik buat peminat. Saya tak nak buat konsert yang tak berkualiti. Saya kena berbincang mengenai konsep dengan pasukan saya.
Sekadar info, Stacy, Velvet, Adam, Rosario dan Elica antara anak seni yang bakal menerima Anugerah Darjah Kinabalu (ADK) juga.