Penyanyi, Marsha Milan memaklumkan dirinya pernah diberi pilihan untuk meninggalkan dunia seni dan memberikan fokus kepada rumah tangga.
Artikel Berkaitan: Tiada Slot ‘Wildcard’, Muktamad Hanya 10 Lagu Berentap Rebut Gelaran Juara AJL39
Suami sentiasa sokong
Walau bagaimanapun, pemilik nama Marsha Milan Londoh ini memaklumkan dia memilih untuk meneruskan karier seni dan keputusan itu disokong oleh suaminya iaitu Mohamed Shaiful Nizam.
Ujar Marsha, suaminya itu juga sentiasa menjadi tulang belakang buatnya dalam apa jua keputusan yang dilakukan dalam kerjayanya sebagai seorang penyanyi.
Saya mempunyai pilihan untuk tidak menjadi artis selepas kahwin tetapi saya sendiri yang mahu teruskan menyanyi.
Walaupun suami saya bukanlah orang hadapan dalam kerjaya nyanyian saya, tetapi dia antara orang penting yang akan melihat setiap hasil kerja saya.
Marsha berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada malam sesi Mega Live AJL39 yang diadakan di Tanamekar The Hill, Petaling Jaya pada malam Sabtu.
Tak nak bebankan suami
Bercakap mengenai kos yang perlu dikeluarkan bagi meneruskan kerjaya, pelantun lagu ‘Cinta’ ini berkata dia tidak pernah menggunakan wang daripada suaminya.
Perjelas Marsha, dia akan menggunakan wang sendiri dalam menjayakan sesuatu tanpa membebani suami ditambah pula dengan bantuan kewangan daripada syarikat rakaman.
Saya tidak mahu bergantung kepada bantuan wang suami kerana memilih kerjaya sebagai penyanyi selepas berkahwin ini pun atas permintaan saya.
Sebenarnya suami saya mempunyai ‘suara’ yang besar dalam setiap persiapan persembahan saya di AJL.
Ketika ditanya mengenai debaran Anugerah Juara Lagu Ke-39 (AJL39), Marsha mengakui saingan pada tahun ini begitu mencabar dengan kemunculan semula penyanyi hebat Hafiz Suip dan penyertaan penyanyi berbakat besar seperti Aina Abdul, Ernie Zakri dan Nadeera Zaini.
Saya rasa tahun ini sukar kerana kebanyakan finalis AJL39 pernah memegang Anugerah Vokal Terbaik. Itu yang membuatkan saya agak gementar sedikit.
Selalunya netizen akan mengaitkan saya dengan vokal Aina, Nadeera dan Ernie kerana mereka merupakan penyanyi wanita tetapi perlu diingat penyanyi lelaki juga mempunyai banyak kelebihan.
Disebabkan itu saya merasakan tahun ini banyak pencalonan yang terbaik terutamanya dari segi vokal.
AJL 39
Untuk edisi AJL39 pada kali ini, penonton bukan sahaja boleh menonton AJL39 menerusi kaca televisyen tetapi berpeluang untuk menyaksikan sendiri kehangatan malam anugerah ini secara langsung di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Untuk mendapatkan tiket konsert AJL39, anda boleh membuat pembelian www.wowtix.com.my.
Dihoskan oleh Naz Rahman dan Sissy Imann, AJL39 juga akan dibawakan secara langsung di TV3 pada 16 Februari ini jam 9 malam dan juga boleh distrim secara HD di www.tonton.com.my.