Marygrace mencipta kejutan apabila diumumkan sebagai juara bagi program Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) yang berlangsung secara langsung di Studio NTV7, Glenmarie pada malam Ahad.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Memori Tercipta! Marygrace Juara Mingguan CSOIAM Minggu Ketiga
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Mary Grace ‘Hanyutkan’ Penonton Dengan Emosi Bernyanyi, Terkenang Momen Trauma Mendiang Ayah
Tahniah!
Dengan keputusan itu, Marygrace berjaya meraih keputusan tertinggi sekaligus berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM500,000.
Selain wang tunai, Marygrace bakal menerima kontrak bersama syarikat rakaman Alternate Record, sebuah kereta Peugeot 408 GT dan sebuah lagu hasil sentuhan karya komposer terkenal Indonesia iaitu Ade Govinda.
Bercakap mengenai kemenangannya, Marygrace menitipkan ucapan terima kasih buat semua pihak yang telah banyak membantunya untuk muncul juara.
Terima kasih buat semua tenaga pengajar yang telah banyak mengajar saya. Dari saya tak boleh menari sampailah saya boleh menari.
Mommy, kita dapat pergi umrah.
Sementara itu, Kai Deva pula diumumkan sebagai naib juara dan membawa pulang wang tunai sebanyak RM50,000.
Keputusan itu sekali gus menafikan kedudukan dua lagi peserta iaitu Jimi dan Zazleen untuk bergelar juara selepas mereka menduduki tempat ketiga dan keempat.
Kedua-dua peserta itu sekadar meraih hadiah saguhati dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 dan RM20,000 seorang.
Untuk pentas akhir, para peserta telah membuat dua persembahan iaitu mempersembahkan single pertama mereka serta persembahan ‘cover song’.
Persembahan selebriti hebat
Lebih hebat, pentas akhir CSOIAM turut dimeriahkan dengan persembahan dari biduanita negara iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza yang menyanyikan tiga buah lagi iaitu ‘Siti Situ Sana Sini’, ‘Kau Kekasihku’ dan ‘Nirmala’.
Selain Siti, tiga lagi lagi penyanyi hebat iaitu Faizal Tahir, Cakra Khan dan Ella turut membuat persembahan yang memukau penonton yang hadir.
Dihoskan oleh Fiza Frizzy dan Haniff Hamzah, program CSOIAM telah pun bersiaran selama lapan minggu dan diadili sepenuhnya oleh juri tetap Ziana Zain, Datuk Yusry Abdul Halim dan Cakra Khan.
Selain juri tetap, para peserta turut diadili Faizal Tahir dan Nicholas Saputra selaku juri jemputan.
Untuk info, keputusan bagi pentas akhir ini ditentukan berdasarkan gabungan 60% markah daripada juri profesional dan 40% undian daripada penonton.