berita

‘Masa Tu Hanya Allah Tahu Perasaanku’ – Wanita Kongsi Pengalaman Jaga Anak Sumbing & Tanpa Lelangit

October 10th, 2020 | by Arini Saleh
Kini Trending

Dalam hidup ini, manusia tidak terlepas daripada pelbagai ujian. Sebagai seorang hamba-Nya, kita hendaklah redha dan menerima takdir yang telah ditentukan.

Seperti kisah yang dikongsi Nur Jannah di laman Kami Suri Rumah, anaknya, Imran Haziq dilahirkan sumbing dan tanpa lelangit. Dengan penuh tabah, ibu ini berusaha memberikan yang terbaik untuk anak.

Dilahirkan sumbing bibir dan tiada lelangit

Umur 4 bulan

Assalamualaikum, maaf jika kisah ni menyentuh emosi para ibu. Aku nak berkongsi sedikit pengalaman bagaimana aku dan suami menjaga seorang anak yang dilahirkan sumbing dan tiada lelangit bernama Imran Haziq.

29 November 2012

Tepat jam 6.41pm, Imran dilahirkan secara normal di Hospital Kuala Lumpur. Masa tu dalam labour room hanya ada Adam dan seorang nurse. Kurang dari 4 minit Imran berjaya dikeluarkan. Perasaan gembira menjadi seorang ibu tetapi dalam masa yang sama bermulalah ujian dalam hidup kami. Pada awalnya, aku pelik kenapa nurse tak bawak Imran pada aku untuk disusukan. Dia hanya cakap, “Tahniah Puan. Puan dapat baby boy. Dia sumbing. Puan jangan risau boleh repair ni.” dan dia terus bawak Imran keluar. Masa tu, aku tak boleh nak fikir apa-apa. Cuba tenangkan hati, mungkin doktor nak tengok Imran. Jam 9 malam, aku dihantar ke wad bersalin tapi Imran tiada dengan aku.

Sebelah katil aku, ibu dan bayi comel sedang tidur. Dari jauh aku nampak Adam datang dan dia beritahu Imran kat NICU. Kita kena pergi sana tengok dia. Aku tak tahu nak bagi reaksi macam mana. Senyum tak, nangis pun tak. Masa tu dah jam 12 tengah malam, aku cakap dengan Adam nak pergi jugak tengok Imran. Nurse bagi kerusi roda sebab aku masih pening. Perasaan masa tu berdebar-debar. Hampir 6 jam muka Imran pun aku tak tengok lagi.

Sampai di wad NICU, nurse cakap Imran dah minum susu. Dia tengah tidur. Aku angkat dan terus cium peluk Imran. Masa tu hanya Allah yang tahu perasaanku. Aku menangis teresak-esak bukan sebab aku malu dengan keadaan Imran. Aku menangis sebab dapat jugak peluk anak sendiri. Malam tu, aku tidur keseorangan ditemani tangisan anak orang lain.

Esoknya, doktor menerangkan keadaan Imran. Imran cleft lips and pallate maksudnya sumbing bibir dan tiada lelangit. Lelangit dia kosong. Mesti korang fikir aku meroyan kan or menangis non-stop 24 jam. Tapi Allah Maha Berkuasa, Alhamdulillah kami dapat menerima dengan hati yang redha. Aku dibenarkan balik tanpa Imran. Selama seminggu aku ulang alik hospital sampai kami dapat katil di wad pediatrik.

Di wad pediatrik pula aku diajar cara nak susukan, cara nak sendawa, cara nak tidurkan. Rupanya semuanya ada cara supaya Imran dapat minum dengan selesa. Bila doktor dah yakin, baru kami pulang ke rumah. Hampir 3 minggu aku berpantang di HKL.

Kalau nangis jahitan terbuka

Masa ni tak buat operation lagi. Kena pkai plaster.

28 March 2014

Operation Imran yang pertama. Major operation untuk betulkan bibir. Masa ni umur dia tiga bulan. Sebenarnya tarikh operation dipercepatkan sebab ada slot kosong. Mula-mula tu semangat, kemas beg bawak apa yang patut. Sampai je hospital, aku berdrama sampaikan doktor tanya kat Adam, wife u ok tak? Mana tak nya aku menangis taknak bagi Imran buat operation. Tiba-tiba rasa takut ya amat.

Lepas kena tegur dengan Adam, baru aku waras semula Betul jugak kalau bukan sekarang bila lagi. Bermulalah kehidupan di hospital selama seminggu. 29 March 2014 tarikh Imran operation. Imran orang kedua masuk operation room. Pertama kali jejak kaki dalam operation room, suasana dalam tu sejuk sangat. Sebelum masuk kena pakai baju biru, kepala kena tutup. Aku dukung erat Imran. Imran puasa dari 10 malam tapi dia tak merengek pun. Dia tidur je seolah-olah dia faham apa yang akan jadi nanti.
Bila semuanya dah sedia, aku ikut masuk ke bilik bedah. Lutut longgar tengok perkakas pembedahan tepi katil bedah. Masa tu rasa nak bawak Imran lari keluar. Doktor minta aku letak Imran atas katil. Dia cakap ibu, boleh cium anak sebelum kami bagi dia tidur. Aku cium dahi Imran, mata dah bengkak tahan nangis. Sebelum doktor bagi gas, Imran tengok aku dan dia senyum. Betul, dia senyum sambil tengok aku. Lagi teruk aku nangis. Bila Imran dah tidur, aku keluar.

Hampir setengah hari kami tunggu di luar dewan bedah. Nak makan pun tak lalu. Nak buat apa pun tak boleh. Standby tunggu doktor call. Imran masuk jam 10 pagi, petang dalam jam 3 baru selesai. Alhamdulillah pembedahan berjaya. Aku terus dukung Imran, darah penuh kat baju. Imran mengerang perlahan. Allahu masa tu aku rasa macam nak ganti tempat dia. Biar aku yang sakit.

Nak jaga Imran bukan mudah. Dia tak boleh nangis. Kalau dia nangis, jahitan boleh terbuka semula. Seminggu kami tak tidur, gilir-gilir jaga taknak bagi dia nangis. Cara tidur atas dada, kena tinggi. Minum susu guna botol khas. Imran tak boleh tidur buai. Risau susu keluar terus dari hidung sebab dia takde lelangit. Dekat setengah tahun kami tidur berjaga-jaga nak pastikan Imran tak nangis lama-lama. Memerlukan kesabaran dan pengorbanan lebih 100% tapi aku bersyukur keluarga sentiasa ada setiap masa.

Jalani 4 pembedahan

Nak keluarkan tiub telinga

1 Januari 2015

Operation Imran yang kedua. Kali ni buat lelangit baru untuk Imran. Supaya dia boleh makan makanan pejal. Macam biasa kami check in di HKL, wad sama katil je berubah. Imran orang kedua masuk OT. Sebelum dia, budak umur setahun lebih operate bibir.
Kali ni kami dah ready. Pergi breakfast, solat. Tak sampai setengah hari dah selesai. Bila nurse call, aku dari jauh dah dengar suara Imran mengerang. Tapi kali ni lagi sayu. Hujung lidah diikat, ditarik ke tepi dan benang tu diseletop pada pipi. Supaya lidah tak ganggu lelangit yang baru.

Ya Allah, masa ni rasa dunia berhenti sekejap. Dengan darah keluar dari mulut. Dia merengek tak berhenti. Aku masa ni memang dah tak kuat. Aku keluar dan panggil Adam masuk. Hanya Adam yang boleh dukung dan pujuk Imran. Bila Imran dah betul-betul sedar baru kami dihantar ke wad. Keesokan harinya doktor buka ikatan di lidah Imran. Tak lama lepas tu Imran mula senyum dan aktif. Selama setahun setengah makan nasi lembut dan susu sahaja. Nasi pun kena suam-suam sejuk. Kalau tak nanti effect pada lelangit.

1 Januari 2016

Operation Imran yang ketiga. Memasukkan tiub ke dalam telinga supaya air dapat keluar seperti kanak-kanak lain. Air yang tersumbat menyebabkan Imran lambat bercakap. Kali ni, minor operation untuk masukkan tube di dalam telinga jadi air yang tersumbat dapat keluar dengan lancar. Tiga hari berkampung di HKL. Doctor Nik pesan nanti tube tu keluar sendiri bila dah matang.

Memang banyak pantang larang kena jaga selama 6 bulan. Tak boleh aktif sangat, tak boleh mandi kolam, tak boleh mandi lama-lama. Penat tapi tak semua akan rasa pengalaman macam ni. Aku memang tertanya bentuk, warna tiub tu sebab Doc cakap kecik je. Setiap kali checkup Doc akan cakap tiub tu ada lagi. Aku kena tunggu sehingga tiub tu keluar sendiri.

Dan, akhirnya dapat tengok rupa sebenar tiub dalam telinga Imran. Taik telinga banyak. Maaf, Mama tak berani nak buang. Takut terkeluar tiub tu. Penuh drama dan air mata sepanjang proses nak keluarkan tiub tu. Dekat 10 minit Doc dan abah bertarung dengan Imran. Tiub comel pun keluar. Terjawab persoalan aku selama ni.

Setitik air mata tak tumpah

Operation ke 4. Umur 6 tahun.

Januari 2017

Operation Imran yang keempat. Operation yang sama juga masukkan tiub dalam telinga. Sementara menanti Imran sedar dari operation, aku diajukan satu soalan.
“Adik tak takut ke hantar anak masuk operation room?”
Tanya seorang makcik yang aku kira sedang menunggu seseorang. Mungkin niatnya cuma untuk mengambil berat tapi bagi aku soalan tu tak sesuai untuk diajukan.
“Dia anak saya acik. 9 bulan saya mengandungkan dia. Keluarkan dia dari perut saya. Siapa cakap saya tak takut. Dari malam tidur tak nyenyak. Ini pun husband masuk tunggu dia sedar. Aku menarik nafas dan menyambung.
“Lagipun acik, ini kali ke 4 saya hantar dia. Saya percayakan doctor. Dia tahu apa yang dia buat. Kami ikut semua.”
Berkerut muka mak cik. Mungkin terkejut tatkala mendengar ini kali yang ke 4. Alhamdulllah! Kali ni aku kuat. Aku tak tewas dengan emosi. Setitik air mata pun tak tumpah saat aku menemani Imran sebelum operation bermula.

Kenapa? Sebab aku tahu, aku punca kekuatan Imran. Andai aku menangis, Imran juga akan turut menangis meskipun dia tak memahami kenapa aku sedemikian. Siapa lagi yang akan beri kekuatan pada Imran kalau bukan aku, ibunya. Kehadiran Imran mengeratkan hubungan kami suami isteri. Jika dulu, kami sering bergaduh meskipun hal yang kecil tapi kini kami berbeza. Ada perkara yang lebih penting perlu difikirkan. Dan segalanya kerana Imran. Tentang Imran. Botol susu Imran. Susu yang sesuai untuk Imran. Cara tidur yang betul untuk Imran. Persediaan mental dan fizikal sebelum dan selepas operation Imran. Aku perlu pastikan Imran tak akan pernah merasa yang dia berbeza dari kanak-kanak lain. Aku perlu pastikan adik-adik dia tahu yang abang dia kuat.

Dah darjah 2

Gambar terbaru darjah 2

CLAPAM
Oh ya, bagi yang belum tahu untuk kanak-kanak seperti Imran ada sebuah organisasi khas yang akan kendalikan dari botol susu sehingga cara nak guna botol susu khas. Nama organisasi tu CLAPAM. Atau nama penuh Persatuan Klef Bibir dan Lelangit Malaysia. Mula ditubuhkan pada tahun 1992.

Sehari lepas imran lahir, ada pegawai datang jumpa kami untuk menerangkan tentang penjagaan dan makanan untuk bayi cleft. Ada botol susu dan puting khas untuk dorang ni. Pada yang kurang pendedahan pasal CLAPAM mohon berjumpa doc pakar kt mana-mana hospital. Cepat-cepat beli botol yang sesuai. Baby cleft memang selalu nangis sebab dorang lapar. Nak bf pun tak boleh.

Botol khas ni sangat membantu memudahkan bayi minum susu. Ada jenis sudu dan puting yang sesuai. Bulan depan genaplah Imran berumur 8 tahun. Alhamdulillah, setakat ni dia tiada masalah komunikasi dengan kanak-kanak lain. Level pendengaran telinga dia pun makin baik, tak payah guna alat bantuan. InsyaAllah pada masa akan datang akan ada satu lagi major operation untuk betulkan gusi dan gigi. Aku berharap itu operation yang terakhir. Bila anak dah besar tolong jangan sembunyi perkara sebenar. Ceritakan semua pada dia. Jadi dia akan lebih bersedia pada masa akan datang dari segi emosi. InsyaAllah.

Mama Imran Haziq

Sumber: Nur Jannah

The following two tabs change content below.

SKIP THIS AD ×