berita

Masih Bertali Pusat & Berdarah, Lelaki Terkejut Jumpa Bayi Dalam Beg Galas Ketika Berjoging

February 7th, 2021 | by Shahira
Kini Trending

Benarlah orang kata, ibu bapa merupakan insan yang bertanggungjawab dalam mendidik dan membesarkan kita. Malah, kasih sayang dan pengorbanan yang diberikan oleh mereka memang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Tetapi lain pula kisahnya kali ini apabila ada ibu bapa tergamak membuang bayi yang baru dilahirkan. Lebih menyedihkan apabila melihat keadaan bayi itu masih bertali pusat dan badannya dipenuhi dengan darah.

‘Dia senyap kemudian menangis’

Memetik laporan Astro Awani, bayi perempuan yang masih bertali pusat itu ditemui oleh seorang lelaki yang dikenali dengan nama Mohd Hanif Zaini. Menurut individu ini, ketika sedang berjoging, dia terdengar satu suara seperti anak kucing.

Pada awalnya, dia menyangka itu hanyalah anak kucing tetapi sebaliknya pula yang terjadi selepas membuka sebuah beg dan melihat terdapat seorang bayi yang dibalut dengan kain batik berada di dalamnya. Difahamkan, bayi itu ditemui di atas kerusi di hadapan sebuah tokong di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Rotan, Kuala Kedah.

Saya datang dekat, dia senyap, kemudian menangis lagi. Saya masuk ke dalam (kawasan tokong), saya buka beg dan tengok dalam tu ada bayi. Masa tu (cuaca) panas, jadi saya tarik dia ke sini (kawasan teduh).

Bawa balik mandikan bayi

Susulan daripada penemuan tersebut, individu ini bertindak menghubungi dan meminta isterinya untuk membawa kereta ke lokasi berkenaan. Mereka kemudian membawa bayi ini ke rumah untuk dibersihkan sebelum melaporkan kepada pihak polis. Namun, tidak lama selepas itu, ambulans dari Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) telah tiba di kediaman mereka dan membawa bayi berkenaan untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan membabitkan kesalahan menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.

Sumber: Astro Awani, Berita Harian

SKIP THIS AD ×