Finalis Famili Duo musim keempat iaitu Tomok dan Sharul Kamal memberitahu mereka akan menyanyikan lagu Menggegar Dunia, Sang Saka Biru, Lagu Jiwa Lagu Cinta dan Gadis Melayu untuk pentas akhir, malam ini.
Artikel Berkaitan: Shiha & Ieda Zikir Mahu Angkat Elemen Tradisional, Cabar Diri Buat Sesuatu Yang Baharu Untuk Pentas Akhir Famili Duo 4
Artikel Berkaitan: Kemuncak Famili Duo 4 Semakin Hampir, Jom Semak Senarai Lagu Bakal Juara & Barisan Peserta
Ada kejutan istimewa
Menerusi temu bual bersama OhBulan! Tomok berkata, lagu Menggegar Dunia dan Sang Saka Biru dipilih kerana kedua-duanya mempunyai vibes yang sangat best dan sesuai untuk dipersembahkan di pentas akhir Famili Duo. Bagi tema bebas pula, Lagu Jiwa Lagu Cinta dan Gadis Melayu dipilih kerana lagu-lagu ini cukup ikonik dan dapat memberikan persembahan yang santai serta berkonsepkan “ceremony”, ujar Tomok.
Kejutan istimewa semestinya akan ada sempena pentas akhir ini. Seperti pasangan lain, mereka turut menyediakan sesuatu yang unik untuk menarik perhatian. Jadi, nantikan persembahan esok.
Disoal mengenai reaksi mereka terhadap komen netizen yang mengkritik Mas Idayu sebagai juri, Tomok dan Sharul secara ringkas menjawab mereka memandang pelantun suara ‘Goyang Bali’ itu sebagai seorang individu yang sangat profesional.
Beliau telah mencapai tahap kerjaya yang tinggi dan layak untuk duduk di kerusi juri. Berdasarkan sejarah dan pembabitan beliau dalam industri, kami tidak melihat sebarang masalah dengan peranannya sebagai juri.
Adalah perkara biasa untuk menerima pelbagai komen daripada orang ramai, termasuk yang positif dan negatif. Kami menerima hakikat tersebut dengan terbuka dan berpendapat bahawa Mas Idayu memberikan komen yang wajar.
Kami menghormati beliau sebagai seorang individu yang berkaliber, sama seperti Datuk Rosyam. Oleh itu, bagi kami, isu ini tidak seharusnya menjadi masalah. Kami faham bahawa tidak semua orang boleh dipuaskan dan mulut orang lain adalah sesuatu yang tidak dapat dikawal.
Kami jangka empat duo
Diminta untuk mengulas mengenai isu penyingkiran Naqiu dan Joey pada minggu lepas, Tomok dan Sharul meluahkan rasa terkejut kerana mereka menjangkakan empat duo akan mara ke peringkat akhir.
Apabila hanya tiga duo yang dipilih, ia benar-benar mengejutkan. Namun, kami faham bahawa keputusan ini sepenuhnya bergantung kepada pihak juri, dan yang penting, semua peserta telah memberikan usaha terbaik mereka. Bagi kami, ini adalah soal rezeki. Mungkin rezeki mereka tiada di sini tetapi ada di tempat lain. Tidak timbul sebarang isu kerana semua peserta adalah kawan dan sahabat. Mereka percaya bahawa rezeki masing-masing akan datang pada masa dan tempat yang sesuai.
Di akhir temu bual, OhBulan! sempat bertanya kepada Tomok dan Sharul adakah benar mereka kurang kisah tentang peluang untuk menjuarai Famili Duo berikutan sudah menang banyak kali juara mingguan.
Matlamat utama Tomok & Sharul adalah untuk meraih kemenangan setiap minggu, termasuk pada minggu final ini. Walaupun telah memenangi hadiah mingguan ribuan, semangat perjuangan kami tetap diteruskan, dengan menekankan persaingan yang sihat.
Jika rezeki berpihak kepada kami, syukur Alhamdulillah. Namun, sekiranya kemenangan milik rakan-rakan lain, kami tetap bangga kerana semuanya adalah sahabat kami. Perkara yang penting adalah untuk menyempurnakan pentas final ini dengan persembahan yang luar biasa dan menyerahkan hasil akhirnya kepada rezeki masing-masing.