berita

Maut Di Rumah Pengasuh, Bapa Mangsa Dakwa Anak Tidak Pernah Tidur Dalam Buaian

February 24th, 2022 | by Shahira
Kini Trending

Sekadar gambar hiasan

Sebelum ini, media tempatan melaporkan bahawa seorang kanak-kanak, Nour Rania Asyifaa Yuseri berusia 15 bulan disahkan meninggal dunia selepas kepalanya dipercayai tersangkut pada kain buaian di pusat jagaan kanak-kanak di Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan.

Artikel Berkaitan: Kepala Tersangkut Pada Buaian, Bayi 15 Bulan Maut Di Rumah Pengasuh

Anak tak pernah tidur dalam buaian

Foto: Berita Harian

Menurut bapa mangsa iaitu Yuseri Yusoff berusia 39 tahun, semalam merupakan kali pertama anaknya ditidurkan di dalam buaian oleh pengasuh malah di rumah juga anak bongsunya tidak pernah ditidurkan di dalam buaian. Bercerita dengan lebih lanjut, Yuseri Yusoff memaklumkan dia dan anak sulungnya berada di rumah sebelum dimaklumkan isterinya mengenai kejadian yang menimpa Nour Rania Asyifaa.

Jelas lagi, dia kemudian bergegas ke Klinik Kesihatan (KK) Sendayan dan setibanya di sana, dia melihat doktor sedang berusaha memberikan bantuan pernafasan kepada anak bongsunya.

Pengasuh memaklumkan anak saya sukar tidur, jadi dia letakkan dalam buaian. Malam sebelum kejadian, anak saya kelihatan biasa sahaja, sudah setahun saya hantar dia ke pusat jagaan itu dan anak sulung juga pernah dihantar ke situ sewaktu kecil.

Baru diuji kehilangan anak kedua tahun 2020

Foto: Harian Metro

Sementara menerusi laporan Berita Harian, bapa mangsa memaklumkan dia reda dengan kejadian yang menimpa anaknya dan menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan. Pihak pusat jagaan dikatakan sudah meminta maaf kepada keluarga mangsa atas kejadian yang berlaku.

Difahamkan, bapa kepada tiga anak ini pernah diuji dengan kehilangan anak kedua pada tahun 2020 akibat komplikasi kesihatan.

Terdahulu, Nour Rania Asyifaa Yuseri berusia 15 bulan disahkan meninggal dunia selepas dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan leher dan kepalanya terkeluar daripada buaian dan tergantung pada kain buaian, manakala badannya masih berada di dalam buaian. Kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut sehingga keputusan bedah siasat diperoleh dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001

SKIP THIS AD ×