Pelakon Mawar Rashid mendedahkan pernah terdetik untuk menghilangkan diri dari dunia seni ketika berdepan dengan kemelut rumah tangga sebelum ini.
Artikel berkaitan: Mawar Rashid Enggan Ulas Mengenai Bekas Suami, Mahu Fokus Besarkan Anak Bersama – ‘Saya Takut Timbul Pula Masalah Lain’
Artikel berkaitan: Rupanya Ibu Mawar Rashid Yang Kahwin Dengan Jejaka Brunei – ‘Tak Sangka Dapat Merasa Kehadiran Seorang Ayah’
Terfikir hilangkan diri
Menurut Mawar atau nama sebenarnya, Wan Mawar Shahputri Wan Abdul Rashid, 29, dia berfikir sedemikian gara-gara masalah peribadi dan tekanan daripada media sosial.
Jujur cakap saya pernah terfikir untuk menghilangkan diri dari industri hiburan dan media sosial.
Banyak faktor mendorong saya berfikir ke arah itu. Apa yang saya lalui adalah tentang kehidupan peribadi, jadi saya perlu rehat. Tambah pula dengan tekanan daripada media sosial.
Saya juga mahu menjaga kesihatan mental jadi sebab itulah saya terfikir untuk hilangkan diri. Saya tahu ketika itu saya hanya perlukan masa untuk bangkit semula.
Mawar berkongsi perkara tersebut semasa ditemui di majlis tayangan trailer dan OST filem terbaharu lakonannya berjudul Jangan Pandang Belakang 2 yang diadakan di GSC Starling Mall, Petaling Jaya, semalam.
Dalam pada itu, Mawar berkata, dia mengambil masa enam bulan untuk memulihkan semangat selepas melalui fasa hidup baru bergelar ibu tunggal.
Hampir enam bulan juga saya banyak fokus kepada diri sendiri dan anak-anak. Dalam tempoh itu saya buat aktiviti luar dan dekatkan diri dengan alam.
Saya banyak dekatkan diri dengan orang-orang yang membuatkan saya tenang.
Berlakon adalah punca rezeki saya dan saya ada anak-anak. Saya juga mulakan kerjaya sebagai pelakon jadi sebab itu saya teruskan dalam bidang seni ini.
Untuk rekod, Mawar dan Raf Yaakob mendirikan rumah tangga pada 2017 namun sah bercerai pada November tahun lalu.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Raden Muhammad, 4, Raden Seri Rosabella Cinta, 2, dan Raden Seri Riyanna Sayang yang kini berusia 10 bulan.