berita

Mayat 28 Pegawai Tentera Sudan Sejak Tahun 1990 Ditemui Dalam Kubur Besar

July 24th, 2020 | by Shahira
Kini Trending

Di Khartoum, sebanyak 28 mayat tentera Sudan telah ditemui di dalam satu kubur besar yang dipercayai telah wujud sejak tahun 1990-an lagi. Kesemua tentera terbabit disyaki terlibat dalam rampasan kuasa terhadap bekas presiden, Omar Bashir yang berkuasa selama 30 tahun.

Mengenal pasti jenazah

Menerusi laporan yang dipetik daripada Telegraph, ini merupakan kubur besar-besaran yang kedua ditemui sejak Bashir memerintah Afrika selama 3 dekad dengan kejam selain dipercayai menumpaskan pihak pembangkang.

Menurut Pendakwa Raya iaitu Tagelsir al-Hebr memaklumkan mayat tersebut telah dijumpai di Omdurman, bandar kembar kepada ibu kota ini selepas tiga minggu usaha pencarian dilakukan. Tambahnya lagi, operasi menggali mayat dijalankan dan pakar perubatan akan melakukan ujian untuk mengenal pasti jenazah.

Peguam menemukan bukti kukuh, terdapat kubur besar pegawai tentera yang terbunuh pada 1990 dan kubur itu sekarang berada di bawah perlindungan pihak berkuasa sehingga siasatan selesai.

300,000 orang terbunuh

Difahamkan, pada bulan April tahun 1990, para pegawai telah mengepung markas tentera dan beberapa berek sebelum ditangkap dan dibunuh. Sejak digulingkan, Bashir yang berusia 76 tahun itu dan orang-orangnya telah ditahan di penjara Kartoum Kober atas pelbagai tuduhan. Dia telah disabitkan dengan kesalahan rasuah dan kini dalam perbicaraan atas rampasan kuasa tentera 1989.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa juga ingin mengadili Bashir atas tuduhan pembunuhan beramai-ramai dan jenayah perang yang dilakukan di wilayah Darfur. Dalam peperangan tersebut, seramai 300,000 orang terbunuh dan 2.5 juta yang lain terpaksa melarikan diri.

Pihak berkuasa memaklumkan akan menyiasat tindakan yang dilakukan di bawah pemerintahan Bashir dan juga keganasan semasa tunjuk perasaan tahun lalu sehingga membuatkan Bashir hilang kuasa pada April 2019. Bashir kini berdepan tuduhan mengganggu-gugat perlembagaan.

Sumber: Telegraph, Reuters, NST

SKIP THIS AD ×