Pada tanggal 19 Februari 2013, mayat seorang wanita yang dikenali dengan nama Elisa Lam telah ditemui dalam keadaan yang sangat menyayat hati. Mayat Elisa ditemui terapung di dalam tangka air di sebuah hotel terkenal di Los Angeles iaitu Hotel Cecil.
Meskipun begitu, kematian Elisa diselubungi dengan penuh misteri. Hal ini kerana, sebelum kematiannya, Elisa dilihat berkelakuan sangat pelik ketika berada di dalam lif. Malah, ada yang mendakwa hotel tersebut berhantu. Apakah sebenarnya yang telah terjadi?
Elisa Lam menjelajah solo
Foto: Associated Press
Elisa Lam atau nama sebenarnya Lam Yi Ho dilahirkan pada 30 April 1991 dan ketika kejadian dia berusia 21 tahun. Elisa merupakan seorang pelajar universiti di Kanada. Namun, pada tahun 2013 dia membuat keputusan untuk menjelajah secara solo di Pantai Barat Amerika Syarikat. Pada awalnya, keputusan tersebut dihalang oleh kedua ibu bapa Elisa kerana mereka bimbang akan keselamatan Elisa yang bersendirian di sana. Tetapi mereka akhirnya akur selepas Elisa berjanji akan menghubungi ibu bapanya itu pada setiap hari.
Elisa telah merancang untuk memulakan perjalanannya ke San Diego sebelum menuju ke Los Angeles, Santa Cruz dan San Francisco. Tetapi sayangnya tidak sempat menjelajah ke semua tempat yang dirancang, Elisa telah ditemui mati. Pada 26 Januari 2013, Elisa telah tiba di Los Angeles dan dua hari kemudian dia mendaftar masuk ke sebuah penginapan iaitu Hotel Cecil.
Tak hubungi ibu bapa
Menurut sumber, sebelum Elisa dilaporkan hilang, dia dikatakan ada mengemaskini akaun Tumblrnya tetapi siapa sangka itu merupakan kali terakhir dia aktif dalam media sosial. Tetapi ada satu posting Elisa yang agak aneh iaitu ‘creepers’. Walaupun begitu, tidak dapat dipastikan apakah yang cuba disampaikan Elisa disebalik perkataan itu.
Seperti yang dijanjikan kepada ibu bapanya sebelum ini bahawa Elisa akan menghubungi mereka pada setiap hari tetapi pada suatu hari iaitu 31 Januari 2013, kedua ibu bapa Elisa langsung tidak mendengar khabar dari anak kesayangan mereka itu. Kali terakhir Elisa menghubungi ibu bapanya ada pada 30 Januari 2013. Malah pada tarikh yang sama juga (31 Januari 2013), Elisa dikatakan akan mendaftar keluar dari Hotel Cecil dan dia juga dilihat berada di kedai cenderamata untuk membeli buah tangan buat keluarganya sebelum pulang.
Rakaman aneh Elisa Lam
Perkhabaran daripada Elisa langsung tidak diterima sehinggalah pada awal bulan Februari. Sejak daripada itu, mereka mulai cemas dan bimbang sesuatu perkara buruk terjadi kepada Elisa. Oleh itu, mereka telah menghubungi polis Los Angeles untuk melaporkan tentang kehilangan Elisa. Ibu bapa Elisa kemudian telah datang ke Los Angeles untuk membantu mencari anak kesayangan mereka itu. Pihak polis kemudian melakukan pencarian Elisa di hotel berkenaan tetapi malangnya mereka langsung tidak menemui jejak Elisa.
Pihak polis kemudian membuat keputusan untuk melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lif hotel berkenaan yang bertarikh 1 Februari 2013. Tetapi alangkah terkejutnya apabila melihat Elisa berkelakuan agak aneh ketika berada di dalam lif tersebut. Elisa kelihatan menekan kesemua butang lif dan setiap kali pintu lif terbuka, Elisa menjenguk kepalanya keluar sambil melihat lorong hotel.
Bahkan dia juga kelihatan keluar masuk lif berkenaan. Dia kemudian berdiri di tepi pintu lif seakan sedang menyorok dari ‘sesuatu’. Apa yang lebih menimbulkan tanda tanya apabila melihat Elisa menggerakkan tangannya seperti memberi ‘isyarat’ dan ‘bersembang’ dengan seseorang sedangkan pada ketika hanya dia seorang sahaja berada di kawasan lif berkenaan. Rakaman video itu telah tersebar di media sosial.
Mayat berbogel dalam tangki
Foto: CNN
Namun pada suatu hari, ada tetamu hotel berkenaan mengadu bahawa air di hotel itu terdapat satu bau dan rasa yang agak pelik. Oleh hal demikian, seorang pekerja penyelenggaraan iaitu Santiago Lopez telah pergi ke kawasan tangki air hotel untuk melakukan pemeriksaan.
Menurut Lopez, pada awalnya dia melihat penutup salah satu tangki air sudah sedikit terbuka sebelum dia bertindak mendekati dan melihat ke dalam tangki air berkenaan. Tetapi segala-galanya terjawab selepas dia melihat satu mayat wanita dalam keadaan berbogel terapung dalam tangki air terbabit.
Penemuan mayat Elisa telah menimbulkan pelbagai tanda tanya dan tidak kurang juga mendakwa kemungkinan itu adalah disebabkan penyakit gangguan bipolar serta masalah kemurungan yang dialami Elisa. Malah, ada yang mendakwa bahawa Hotel Cecil itu memang terkenal dengan kejadian misteri dan berhantu.
Hal ini kerana, terdapat beberapa kes kematian misteri berlaku di hotel itu sejak ia ditubuhkan pada 1927. Tidak terhenti di situ, hotel itu juga pernah dikunjungi oleh beberapa pembunuh terkenal di Amerika Syarikat. Walaupun begitu, pelbagai teori kematian Elisa berleluasa di Internet dan kes ini kekal menjadi misteri.
Sumber: The Sun, Free Malaysia Today, Historic Mysteries, Youtube