berita

MDEC Lancar Kempen Go-eCommerce Onboarding & Shop Malaysia Online Untuk Bantu Peniaga Tempatan

July 9th, 2021 | by Syakilla Marzuki
Kini Trending

Sejak tahun lalu, ramai peniaga tempatan mengalami cabaran sukar dan terkesan dengan masalah kewangan akibat pandemik Covid-19.  Ia juga telah memberi impak besar terhadap ekonomi di seluruh dunia.

Oleh itu, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), iaitu agensi utama dalam menerajui transformasi digital Malaysia, hari ini mengumumkan pelancaran Kempen Go-eCommerce Onboarding dan Kempen Shop Malaysia Online (SMO).

Mereka sebagai agensi utama akan melaksanakan kedua-dua inisiatif ini dan dijangka menghasilkan 10 juta transaksi untuk bantu pemulihan ekonomi berdasarkan konsep pembiayaan awam dan swasta. Jom tengok apa lagi manfaat kempen ini kepada semua peniaga tempatan yang terlibat!

1. Insentif RM200 juta bagi membantu peniaga sertai platform e-dagang & e-bayar

Kalau korang nak tahu, sebagai sebahagian daripada inisiatif Belanjawan 2021, kerajaan akan menyuntik pakej insentif bernilai RM200 juta tau! Ia bertujuan untuk memberi sokongan kepada perniagaan tempatan pelbagai sektor bagi menyertai platform e-dagang dan e-bayar. 

Di bawah kempen SMO ni, kerajaan akan beri insentif seperti potongan harga, rebat dan baucar penghantaran kepada rakyat bagi mendorong lebih banyak pembelian secara dalam talian dari perniagaan dan produk tempatan.

2. Mengurangkan kos operasi & memastikan perniagaan manfaatkan peluang baharu

Dalam menyokong perniagaan di Malaysia, mereka juga akan memastikan pekerjaan dan kehidupan rakyat dapat diselamatkan. Termasuk mengurangkan kos operasi dan membolehkan peniaga tempatan memanfaatkan peluang baharu, mempercepatkan perniagaan tempatan dan berdaya tahan. 

Selain itu, meningkatkan juga keyakinan pengguna supaya membeli produk keluaran tempatan bagi memastikan perniagaan di Malaysia terus maju dan seterusnya dapat menyelamatkan pekerjaan dalam pelbagai sektor. 

3. 300,000 peniaga tempatan termasuk usahawan wanita terima manfaat ni!

Bermula pada 1 Julai hingga 31 Disember 2021, sekitar 300,000 perniagaan tempatan termasuk 50,000 yang kali pertama mendaftar akan nikmati manfaat menarik dari MDEC ni! 

Bukan tu saja, pada masa yang tak menentu ni, kerajaan menyasarkan seramai 30,000 usahawan wanita bagi mendapat manfaat daripada inisiatif ini untuk mendorong perniagaan mereka untuk lebih berdaya maju.

MDEC juga teguh dengan tekad mereka dalam melengkapkan, membolehkan perniagaan Malaysia terus berkembang dan menjadi pemangkin pertumbuhan e-dagang Malaysia serta muncul sebagai pasaran terbesar di ASEAN menjelang 2025. 

Penjualan bernilai lebih RM1.87 bilion telah dihasilkan menerusi inisiatif ini!

Peruntukan tahun ini menyaksikan peningkatan berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM140 juta yang menghasilkan Penjualan bernilai lebih RM1.87 bilion untuk kedua-dua inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) iaitu Kempen SMO dan Kempen e-dagang bagi PKS dan mikro.

Seramai 8.2 juta pengguna berbelanja sepanjang kempen SMO yang telah memanfaatkan 202,000 perniagaan tempatan manakala Kempen e-dagang PKS dan mikro mencatatkan penyertaan sebanyak 33,000 perniagaan baharu dalam pelbagai platform e-dagang.

Moga manfaat ini akan terus diperkukuhkan pada masa hadapan!

MDEC juga berharap dengan kerjasama awam dan swasta serta sokongan daripada 32 rakan e-dagang yang mengambil bahagian pada tahun ini dapat dijalinkan dan akan terus diperkukuhkan untuk manfaat masa hadapan.

Ha..menerusi kempen ni, banyak juga kan manfaat yang korang sebagai PKS akan terima? Jadi, untuk mengetahui lebih lanjut lagi mengenai inisiatif e-dagang Belanjawan 2021 Go-eCommerce Onboarding dan Shop Malaysia Online ni, korang boleh layari laman web mereka di SINI.

SKIP THIS AD ×