berita

Media Prima Kekalkan Momentum Pendapatan, Catat Keuntungan RM20.8 Juta

August 25th, 2022 | by Hariz
Kini Trending

Kumpulan media bersepadu terbesar di Malaysia, Media Prima Berhad, mencatatkan keuntungan selepas cukai RM20.8 juta bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2022 (1HFY22), dengan peningkatan 24% berbanding RM16.8 juta dalam tempoh yang sama, tahun sebelumnya.

Keuntungan bersih bagi tiga bulan berakhir 30 Jun 2022 (2QFY22) dikaji meningkat sebanyak 23% kepada RM15.6 juta daripada RM12.7 juta pada suku perbandingan.

Iklan & jualan kandungan jadi penyumbang utama

Hasil pengiklanan dan jualan kandungan Media Prima terus menjadi penyumbang utama kepada prestasi kewangan keseluruhan, dengan peningkatan bagi semua perniagaan kumpulan tersebut.

Peningkatan hasil pengiklanan sebanyak 9% kepada RM370.5 juta pada 1HFY22, daripada RM341.1 juta pada 1HFY21 ini dipacu oleh cabang penyelesaian media Kumpulan, Media Prima Omnia.

Pengiklanan Kumpulan diterajui oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada segmen penyiaran yang diwakili oleh Rangkaian Televisyen Media Prima dan Media Prima Audio telah mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 15% kepada RM243.8 juta pada 1HFY22 berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

Hasil daripada perniagaan digital Media Prima, REV Media Group, meningkat 15% kepada RM47.9 juta. Perniagaan pengiklanan luar rumah Media Prima, Big Tree, mencatatkan pertumbuhan hasil sebanyak 13% kepada RM56.0 juta, mencerminkan pulangan secara beransur dalam permintaan untuk pengiklanan luar rumah.

Hasil jualan kandungan meningkat 39% dalam tempoh semasa berikutan peningkatan permintaan bagi kandungan tempatan daripada penyedia perkhidmatan penstriman sedia ada dan baharu.

Media Prima peneraju industri media dan hiburan

Datuk Seri (Dr) Syed Hussian Aljunid, Pengurusi Kumpulan Media Prima Berhad 

Datuk Seri (Dr) Syed Hussian Aljunid, Pengerusi Kumpulan Media Prima berkata, mereka berbesar hati dengan pertumbuhan yang menggalakkan dalam pengiklanan merentasi perniagaan kumpulan itu.

Kami berbesar hati untuk mencatatkan pertumbuhan yang menggalakkan dalam pengiklanan merentasi perniagaan kami pada 1HFY22 walaupun menghadapi cabaran ekonomi. Ini bukan sahaja menunjukkan pemulihan dalam perbelanjaan pengiklanan— ia juga mengesahkan bahawa Media Prima telah menjadi peneraju dalam industri media dan hiburan.

Saluran televisyen kami kekal paling banyak ditonton di negara ini manakala jenama kami adalah sumber utama untuk kandungan berita dan hiburan di kalangan rakyat Malaysia.

Melangkah ke hadapan, kami akan terus memperkukuh kelebihan daya saing ini.

Kekuatan Kumpulan dimanfaatkan

Rafiq Razali, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima

Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali berkata, prestasi sepanjang enam bulan menunjukkan keupayaan kumpulan itu dalam memanfaatkan kekuatannya.

Prestasi kami sepanjang enam bulan menunjukkan keupayaan kami untuk memanfaatkan kekuatan Kumpulan. Kami berbesar hati dengan sokongan yang berterusan dari pelanggan kami dan Kumpulan akan terus memperkukuh aliran pendapatan pengiklanan dan penciptaan kandungan kerana ini adalah pemacu strategik utama kami.

Kami berharap dapat memberi lebih nilai kepada pelanggan kami serta menyampaikan kandungan berkualiti tinggi untuk semua rakyat Malaysia.

Dengan ini, ditambah dengan pembaikan proses berterusan dan peningkatan kecekapan operasi akan menguatkan lagi kedudukan Kumpulan daripada sebarang halangan pasaran bagi memasuki separuh kedua tahun kewangan.

SKIP THIS AD ×