
Kumpulan media bersepadu terbesar di Malaysia, Media Prima Berhad telah melancarkan sebuah inisiatif sosial merentas pelbagai platform iaitu Ruang Rehat.
Inisiatif ini bertujuan untuk membantu rakyat Malaysia menguruskan tekanan serta menggalakkan amalan merehatkan minda sebagai sebahagian daripada gaya hidup sihat.
Artikel Berkaitan: Anda Semangat ‘Paling Malaysia?’ Tunjukkan Bakat Melalui Peraduan Rap Paling Malaysia & Menangi Wang Tunai RM5,000
Artikel Berkaitan: Media Prima Anjur Klinik Didik SPM & PKSK, Bantu Pelajar Raih Keputusan Cemerlang
Kesejahteraan mental & emosi

Kempen ini memanfaatkan kekuatan ekosistem media Kumpulan untuk menggalakkan masyarakat meluangkan masa seketika bagi menjaga kesejahteraan mental dan emosi mereka.
Mengetengahkan slogan ‘Jaga Minda, Jaga Hati, Sayangi Diri‘ sebagai mesej utama Ruang Rehat, kempen ini merupakan salah satu inisiatif utama di bawah komitmen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Media Prima.
Ruang Rehat dilaksanakan menerusi platform Televisyen, Radio, Digital, Percetakan dan Pengiklanan Luaran (OOH), yang mengajak rakyat Malaysia untuk melayari ruangrehat.my.
Hab digital ini menyediakan pelbagai kandungan dan sumber kesejahteraan yang direka untuk membantu pengguna mengambil masa berhenti seketika. Ia termasuk artikel berkaitan kesejahteraan diri, senarai main audio serta zon terapi visual.
Beberapa fasa telah dirangka untuk memperkukuh penglibatan komuniti serta membawa pengalaman kesejahteraan digital ke dunia nyata menerusi pelbagai aktiviti.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Rafiq Razali berkata, matlamat Media Prima adalah untuk menjadikan amalan meluangkan masa bagi merehatkan minda sebagai sebahagian daripada gaya hidup sihat rakyat Malaysia.
Dengan memanfaatkan jangkauan luas platform Media Prima, kami berharap dapat menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia untuk mengutamakan kesejahteraan mental melalui amalan rehat yang berkualiti, refleksi diri dan keseimbangan hidup.
Kami percaya bahawa penjagaan kesihatan mental yang konsisten mampu membantu individu menjalani kehidupan yang lebih positif dan produktif.
Kami juga mahu membantu mengurangkan stigma terhadap keperluan untuk berehat dan mengurus emosi, serta meningkatkan kesedaran bahawa mengambil masa untuk berhenti seketika bukanlah satu kelemahan, sebaliknya satu langkah penting untuk mengekalkan produktiviti, kesejahteraan diri dan kesihatan jangka panjang.
Justeru itu, Media Prima menjemput seluruh rakyat Malaysia untuk menyertai kempen Ruang Rehat dan menggunakan sumber yang telah disediakan bagi kesejahteraan diri dan demi kesihatan mental.
Untuk maklumat berkenaan kempen ini, anda boleh layari ruangrehat.my.





![[VIDEO] Madammu Sebak Anak Menangis Minta Maaf Terlalu Inginkan Adik – ‘Katanya Dia Mahu Baby, Tapi Saya Yang Sakit Lalui Proses Itu’](https://asset.ohbulan.com/2026/08/madammu1.jpg)


