berita

Media Prima Lantik Samuel Wee Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan REV Media

October 4th, 2021 | by Wan
Kini Trending

Media Prima Berhad mengumumkan pelantikan Samuel Wee sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan REV Media (REV Media), bahagian perniagaan digital Kumpulan berkuatkuasa 1 Oktober 2021. Beliau melapor kepada Encik Rafiq Razali, Pengarah Urusan Kumpulan, Media Prima.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Sam menyertai Media Prima pada tahun 2017 sebagai Pengurus Besar, Operasi Perniagaan, Kumpulan REV Media (dahulunya dikenali sebagai REV Asia Holdings, anak syarikat Media Prima Digital) dan seterusnya menjadi Ketua Pegawai Operasi pada tahun 2020. Beliau memainkan peranan penting dalam perkembangan REV Media untuk menjadi penerbit digital nombor satu di Malaysia dan kini mewakili lebih 40 jenama ternama serta menjangkau 15 juta orang di Malaysia.

Pemimpin berkebolehan

Sebelum menyertai Media Prima, Sam dan beberapa orang pengasas telah menubuhkan REV Asia Holdings, iaitu kumpulan media digital yang terkemuka di Malaysia dan telah membeli SAYS, OHBULAN! dan ViralCham bagi mempercepatkan pertumbuhannya. Beliau juga mengetuai peluasan perniagaan REV Asia Holdings ke Filipina, Indonesia dan Vietnam. REV Asia Holdings telah dibeli oleh Media Prima pada Ogos 2017 dan kemudiannya dikenali sebagai Kumpulan REV Media pada tahun 2020.

Sam memulakan kerjayanya bersama HSBC Malaysia dalam bahagian Strategi Korporat dan Transformasi Perniagaan sebelum menceburi bidang penubuhan syarikat permulaan (start-up) sebagai salah seorang pengasas SAYS. Sam memiliki Ijazah Sarjana Muda Kewangan dan Pengurusan dari University of Technology, Sydney dan juga penerima Anugerah Usahawan Muda HSBC 2006 (Asia).

Sam akan menggantikan Encik Rafiq Razali sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan REV Media, yang dilantik menjadi Pengarah Urusan Kumpulan, Media Prima Berhad pada 1 Oktober 2021. Mengulas mengenai pelantikan ini, Encik Rafiq amat berbesar hati mengumumkan Sam sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan REV Media.

Saya telah bekerja rapat dengan Sam untuk menjadikan REV Media sebagai penerbit digital terkemuka di Malaysia. Beliau adalah pemimpin yang sangat berkebolehan dan mempunyai rekod prestasi yang mantap di dalam industri. Tambahan lagi, Sam begitu memahami budaya dan perniagaan REV Media, dan saya percaya bahawa beliau akan membawa pasukan maju ke tahap seterusnya serta mencapai pertumbuhan yang lebih baik.

SKIP THIS AD ×