
Pelakon, Meerqeen menafikan wujudnya cinta di lokasi penggambaran drama Thariq Ridzuwan: His Treasure bersama aktres, Qasrina Karima ketika mereka digandingkan bersama dalam naskhah tersebut.
Artikel Berkaitan: Meerqeen Kecewa Impian & Cita-Cita Dipandang Rendah, Tekad Akan Terus Berusaha – ‘Mereka Sepatutnya Menyokong..’
Artikel Berkaitan: ‘Saya Tetap Sokong & Beri Sumbangan, Buat Apa Menunjuk’ – Meerqeen
Tak bercinta, selesa bekerjasama

Begitu pun, Meerqeen atau nama lengkap Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam, 24, mengakui senang bekerjasama dengan Qasrina selain keserasian yang mudah digapai dalam drama berkenaan.
Seronok berkerjasama dengan dia (Qasrina), malah ada yang kata kami kerap bersama dan banyak buat video bersama. Saya tak tahu pun kami selalu buat video bersama? Setakat ini kami hanya ada satu video saja.
Saya tak nampak (video) dan benda itu tak viral pun. Mungkin yang tular adalah sebahagian daripada babak dalam drama yang kami lakonkan.
Meerqeen berkata demikian ketika ditemui di sidang media drama Thariq Ridzuwan: His Treasure dan Mandul Bukan Pilihan yang berlangsung di ibu kota, baru-baru ini.
Sebelum ini, tular sepotong video memaparkan kemesraan antara Meerqeen dan Qasrina sehingga ada yang mendakwa mereka mempunyai hubungan istimewa.
Tak layak watak utama

Dalam pada itu, berkongsi mengenai drama Thariq Ridzuwan: His Treasure, Meerqeen memberitahu dia tidak terasa hati apabila ada segelintir wargamaya yang mempertikaikan pemilihannya sebagai teruja utama drama adaptasi novel karya Huda Najwa itu.
Tutur pemenang tempat ketiga Hero Remaja 2019/2020 itu, penonton harus menonton terlebih dahulu drama berkenaan sebelum membuat penilaian.
Jujur saya tak tercabar pun bila ada yang persoalkan kenapa saya dipilih. Lagipun saya dibayar untuk berlakon dalam drama ini, jadi kenapa perlu saya terguris hati dengan komen mereka.
Saya pun tak baca komen atau ambil tahu apa yang orang nak katakan mengenai saya. Sebaliknya saya merasa lebih teruja nak buktikan saya mampu bawa watak Thariq Ridzuwan dengan baik.
Bagi saya, mereka yang mengkritik terlebih dulu tanpa melihat visual samalah seperti orang yang jatuh hukum makanan tak sedap tanpa merasanya terlebih dulu.








