TV3 menyambut ulang tahun yang ke-40, semalam. Bertemakan Immersio: Inspirasi Generasi, acara yang berlangsung sejak 20 Mei lalu di Muzium Telekom, Kuala Lumpur, itu mendapat sambutan yang sangat baik daripada pengunjung yang hadir.
Difahamkan hampir 6,000 orang pengunjung telah hadir ke acara tersebut.
Tenaga kerja golongan generasi Z
Pada acara itu, TV3 membawa Inspirasi Art Showcase yang memaparkan hasil karya tujuh anak seni tempatan yang mengubah ruang pameran di Muzium Telekom melalui projek pemetaan cahaya dan seni digital yang mengasyikkan dengan instalasi interaktif.
Antaranya bilik pameran Buletin Utama (BU), Majalah, Raudah, Drama, Wanita dan Hiburan dalam karya mereka yang menjadi simbol manifesto TV3 untuk terus kekal segar, relevan, dan berdaya saing seiring dengan peredaran masa.
Pengalaman kerjasama TV3 bersama Galeri Seni Digital di Muzium Telekom dan Yayasan Telekom Malaysia turut mencatatkan satu lagi lembaran kreativiti kepada Muzium Telekom dan Yayasan Telekom Malaysia sebagai pewaris evolusi telekomunikasi negara.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) dan Primeworks Studios (PWS), Nini Yusof, pihaknya berbangga dengan hasil kerja tenaga muda di TV3 yang merealisasikan acara berkenaan.
Saya fikir ini kali pertama kita membiarkan tenaga kerja daripada golongan generasi Z di TV3 untuk merancang bagaimana kita mahu raikan sambutan ulang tahun TV3 ke-40. Saya fikir acara kali ini agak berlainan sebab kita buat pameran digital di luar Sri Pentas.
Setakat ini, pameran bermula 20 Mei lalu sehingga hari ini dihadiri 6,000 pengunjung. Alhamdulillah, saya sangat berbangga dengan hasil tenaga mereka.
Nini yang ditemui selepas pelancaran acara tersebut semalam, turut ditemani Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad, Rafiq Razali; Ketua Pegawai Operasi TV3 dan Tonton, Amir Rasyidi Johari; Ketua Pegawai Operasi Big Tree Outdoor, Omnia Agency Solutions, Stephanie Wong serta Pengarang Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa MPTN, Kamaruddin Mape.
Disoal mengenai perkembangan TV3, Nini memberitahu tujuan utama acara itu dianjurkan adalah untuk menceritakan perkembangan yang berlaku sejak 40 tahun lalu.
Empat puluh tahun lalu, bermulanya perjalanan kita dalam menyampaikan berita, berkongsi cerita dan menghiburkan segenap sisi keluarga.
Hari ini, kita meraikan perkembangan TV3 yang didorong oleh inovasi, dedikasi serta sokongan tidak berbelah bahagi dari penontonnya.
Terbukti, TV3 akan terus menjadi pemacu dan pemangkin industri media, didukungi oleh kreativiti dan keinginan yang tinggi untuk berjaya.
Terima kasih kepada keluarga TV3 kerana komited dalam memberikan yang terbaik. Mari kita teruskan kecemerlangan ini untuk 40 tahun yang akan datang, memecahkan tradisi dan mencipta detik-detik indah bersama.
Menerusi pemerhatian pihak OhBulan! program itu turut dimeriahkan dengan kehadiran beberapa selebriti popular yang menjayakan naskhah terbitan TV3 seperti Erysha Emyra, Zahiril Adzim, Haneesya Hanee, Shaza Bae, Qistina Khaled, Bella Astillah, Muaz Zabir, Daniel Fong dan Meerqeen.
Turut hadir adalah wajah ikonik TV3 yang pernah mewarnai siaran TV3 seperiti Ezzah Aziz Fauzy, Abu Bakar Atan, Saiful Nizam, Maria Tunku Sabri dan ramai lagi.
Sekadar info, acara ini dibuka kepada orang ramai sehingga 9 Jun depan.