Berita baik buat pencinta seni budaya! Setelah sekian lama, akhirnya filem aksi persilatan Malaysia, Syahadan bakal menjengah di pawagam pada 17 Februari 2022.
Pesilat negara
Filem Syahadan adalah sebuah filem aksi yang mengetengahkan seni persilatan dari pelbagai aspek budaya pengamal ilmu silat dan merupakan filem sulung terbitan Trilion Marketing Sdn. Bhd dengan kerjasama Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA). Filem ini diarahkan oleh Datuk Dr. Fairus Hussain dan Halim Hassan.
Filem Syahadan menampilkan pesilat negara Al-Jufferi Jamari sebagai teraju utama (Omar) bersama penglibatan pelakon veteran Anuar Rahman sebagai Pak Daud serta Bob Megat (bapa Omar). Filem ini mengisahkan tentang seorang anak muda, Omar yang hidup tanpa arah tujuan serta diserapi unsur hedonisme. Demi mendisiplinkan Omar, bapanya menghantar Omar ke sebuah kampung bagi memperbaiki akhlak dan menjadi insan berguna kepada masyarakat melalui kaedah persilatan.
Menampilkan pesilat negara
Pada awalnya, Omar seakan menentang sehinggalah pada suatu hari hatinya terbuka selepas melihat Pak Daud berjaya menumpaskan empat orang samseng yang bersenjata dalam sekelip mata sahaja menggunakan ilmu persilatan. Sepanjang sesi latihan persilatan bersama Pak Daud, Omar bukan sekadar berlatih gerak serta kekuatan, tetapi ia adalah cara hidup bagi membentuk akhlak terpuji.
Kisah silam yang disembunyikan ayah Omar, saat Omar kecil yang menjalani pembedahan menggunakan khidmat pemerdagangan organ antarabangsa di pasaran gelap mula menjemput penjenayah dalam hidupnya.
Walaupun golongan sasar filem ini adalah lebih kepada pecinta seni warisan Melayu, Syahadan optimis dapat menarik masyarakat umum ke panggung untuk berhibur bersesuaian dengan penceritaannya yang dekat dengan kehidupan masyarakat, penuh hikmah dan patuh Syariah.
Saksikan Filem Syahadan bermula 17 Februari ini di pawagam terpilih berdekatan anda.
Trailer
Sumber: Youtube Arkian Studio