Ajal, rezeki dan jodoh sudah ditentukan oleh Allah SWT sebelum kita dilahirkan lagi. Sebagai seorang makhluk, kita hendaklah percaya dan terima takdir yang sudah tertulis.
Di India, seorang lelaki tidak sabar menunggu saat kematian apabila dia menggali kuburnya sendiri. Apa yang paling menyentuh hati apabila kubur digali bersebelahan dengan pusara ibu.
Bimbang hasratnya tidak ditunaikan
Menerusi Gulf News, lelaki berumur 70 tahun ini sanggup membelanjakan wang sebanyak Rs 25 000 (RM 1468) untuk menggali kuburnya sendiri.
Mazoor Hassan berbuat demikian kerana tidak yakin hasratnya untuk dikebumikan berdekatan dengan pusara ibunya itu akan ditunaikan oleh anggota keluarganya.
Tugas saya di dunia telah selesai. Kini, saya hanya menunggu panggilan Allah untuk kembali kepada-Nya.
Lelaki ini juga dikatakan banyak menghabiskan masanya dengan menjaga kubur dan menunaikan solat di sana.
Dapat ‘berasa dekat’ dengan ibu
Dia nekad dengan tindakannya ini kerana terlalu sayangkan ibunya dan ingin sentiasa dekat dengannya apabila sudah meninggal dunia kelak.
Saya terlalu sayang ibu saya. Saya jarang keluar meninggalkan ibu saya sendirian. Apabila dia meninggal dunia pada tahun 1999, saya mengebumikannya berhampiran rumah supaya saya ‘berasa dekat’ dengannya.
Hassan merupakan seorang petani yang popular di kalangan penduduk setempat dengan kerja sosial yang dilakukannya. Dia telah membina madrasah, masjid dan sekolah untuk kanak-kanak dengan menggunakan wangnya sendiri. Kanak-kanak miskin di madrasah bukan sahaja diberi pendidikan malah makanan percuma juga turut disediakan.
Tindakan Hassan ini turut mendapat pelbagai reaksi penduduk setempat.
Sumber: Gulf News, Sinar Harian