berita

Mengajar Al-Quran Di Radio & TV Suatu Ketika Dahulu, Ini Kisah Allahyarham Hassan Azhari

December 17th, 2019 | by Shafika
Kini Trending

Pada bulan Oktober tahun lepas, negara kehilangan permata dalam bidang keagamaan apabila tokoh terkenal Tan Sri Hassan Azhari meninggal dunia akibat kanser limfoma. Pemergiannya memberi kesan kepada ramai umat Islam memandangkan jasanya yang besar dalam bidang tilawah Al-Quran di negara ini.

Terbaru, anak kepada Hassan Azhari kongsi detik perjalanan ayahnya sepanjang menjadi pengajar rancangan Muqaddam yang popular sekitar awal 1970-an. Sangat inspirasi!

Meninggal sebagai guru mengajar Al-Quran

Inilah ayah saya. Nama penuh beliau ialah Hassan bin Azhari. Beliau seorang pesara yang pernah bekerja sebagai nadzir pelajaran. Pada masa sama, beliau juga seorang guru. Pekerjaan akhir beliau sebelum penghujung hayatnya tetap sama, guru. Ya, guru al-Quran. Saya memanggilnya, abah.

Sementara sebahagian adik beradik lain menggelarnya, abuya. Beliau kembali ke rahmatullah pada 6 Oktober tahun lalu. Gambar ini dirakam ketika beliau mengajar dalam rancangan di TV1, Muqaddam. Tidak silap sekitar awal 80-an.

Dikelilingi kitab dan kertas putih

Sejak TV hitam putih hinggalah berwarna, perjalanan untuk menghasilkan program tersebut cukup panjang. Tidak sedikit ilmu, masa dan keringat ditumpahkan. Ada bangun jatuhnya dan penuh air mata terutama mereka yang pernah bergelar ‘anak murid’ dalam program tersebut.

Di rumah, ketika menyiapkan skrip rancangan, saya sering melihat abah lebih selesa duduk bersila di atas lantai berlapik permaidani sambil dikelilingi banyak kitab dan kertas-kertas putih A4. Ada juga sesekali abah menggunakan mesin taip untuk menghasilkan skrip.

Kesemua skrip program ditulis tangan

Sesekali saya curi-curi juga baca skrip Muqaddam. Saya hendak tahu bagaimana abah menulis skrip untuk program tersebut. Kesemua skrip untuk program di radio dan televisyen lebih banyak ditulis tangan berbanding ditaip kerana abah menulis dalam tulisan jawi serta penggunaan ayat-ayat Quran. Tiada siapa yang berani menggangu ketika beliau tekun menyiapkan skrip rancangan tersebut.

Beliau sendirian menyusun semua kandungan pembelajaran dan skrip yang dihasilkan. Kami perhati saja dari jauh. Namun, beliau masih merujuk kepada gurunya jika ada kemusykilan. Satu perkara yang saya ingat tentang abah ialah beliau sangat menghormati guru-gurunya dan mempunyai hubungan yang sangat baik dengan mereka.

Jika dia kurang faham, cepat-cepat merujuk gurunya

Andai ada perkara yang beliau kurang fahami atau timbul kemusykilan, abah akan cepat-cepat merujuk gurunya untuk mendapatkan kepastian. Ada sesiapa yang membesar dan mengikuti programm Muqaddam sekitar tahun 80-an? Jika ada, teruskanlah dekat dan istiqomah dengan al-Quran. Tiada istilah noktah dengan al-Quran walaupun rancangan ini sudah ditamatkan.

Berdampinglah sekerap mungkin dengan al-Quran walau sesibuk mana sekalipun kita dengan urusan dunia. Usahakan untuk membacanya. Jika tidak mampu membacanya satu juzuk sehari, maka bacalah satu maqra’, jika masih tidak berkemampuan untuk membaca satu maqra’, bacalah satu muka, jika masih tidak mampu membaca satu muka, maka bacalah walau sepuluh ayat sehari, jika masih tidak mampu juga membaca sepuluh ayat sehari, bacalah walau satu ayat, jika masih tidak mampu, jangan langsung tinggalkan al-Quran.

Semoga kita manfaatkan Al-Quran

Bahkan, memandang al-Quran itu saja merupakan ladang pahala. Selalu ingat pesanan Nabi Muhammad SAW. Daripada Nawwas Bin Sam’an r.a. telah berkata: Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda: “Di hari akhirat kelak akan didatangkan al-Quran dan orang yang membaca dan mengamalkan isi kandungannya, didahului dengan surah al Baqarah dan surah ali-Imraan, kedua-dua surah ini menghujah ( mempertahankan ) orang yang membaca dan mengamalkannya” (Hadis Riwayat Muslim)

Kenapa tiba tiba buka kisah ni? Sebab saya terlihat gambar ini dan terpanggil untuk berkongsi. Al-Fatihah buat abah. Nanti kita sambung lagi. Uhibbukum fillah, hayya ilal jannah. Semoga kita semua menjadi generasi akhir zaman yang memanfaatkan al-Quran sebaik-baiknya.

Kapsyen: Zaman ini masih guna papan hitam dan kapur tulis lagi. Ya, itu tulisan beliau.

Sumber : Najibah Hassan

The following two tabs change content below.

Shafika

Content Champion at Rev Asia Berhad
I'm not fat, I'm just easy to see

SKIP THIS AD ×