Anda jatuh hati dengan drama ‘Ku Cinta Kau Seorang’ yang dilakonkan oleh Remy Ishak dan Amyra Rosli? Jika ya, pasti anda akan ternanti-nanti drama siri terbaru, Romi Cinta Julia yang bakal ditayangkan di slot Lestary bermula pada malam ini.
Drama bergenre percintaan garapan sutradara Kas Roshan bersama penulis skrip, Nieza Nahar ini mempertaruhkan Syarul Ridzwan dan Aisya Hasnaa sebagai teraju utama.
Namun, sedar atau tidak penonton drama di Malaysia seringkali dihidangkan dengan sajian yang sama iaitu drama bekonsepkan percintaan. Malah, rating penonton tertinggi juga nyata dimonopoli oleh drama-drama daripada genre tersebut.
Jarang-jarang sekali kita dengar drama dengan jalan cerita berkonsepkan kekeluargaan, pendidikan mahupun aksi yang melonjak ratingnya bukan? Kalau ada pun rasanya hanya satu dalam seribu.
Lambakan drama bergenre percintaan
Realitinya, kisah percintaan terhalang kerana darjat, terlanjur berkasih-sayang sehingga mengandung, kahwin lari, pergolakan cinta bersegi-segi, suami isteri berskandal dan seangkatan dengannya menjadi modal utama para pengarah menjual drama mereka.
Lebih memburukkan keadaan, secara tidak langung visual intim yang dipaparkan menerusi drama-drama klise ini bakal menggerakkan naluri sang remaja untuk mencuba sebabak dua aksi tersebut.
Tidak berniat mahu menjatuhkan sesiapa, cuma kadang-kala terlintas di fikiran penulis adakah mentaliti penonton membentuk trend drama atau ia sebenarnya disekat dek kebanjiran drama bergenre percintaan?
Sedangkan minda si dewasa pun boleh terpengaruh, inikan pula mentaliti generasi muda yang seharusnya dimanfaatkan dengan perkara ilmiah kini dilihat terbantut perkembangannya kerana melayan perasaan menonton drama-drama tersebut.
Love You Mr. Arrogant catat rating 4.6 juta
Adakah ianya merupakan perkara yang mustahil untuk sesebuah drama itu meletup tanpa menggunakan sebarang unsur percintaan sebagai jalan cerita utama? Belum cuba belum tahukan?
Dahagakan idea yang lebih segar, penulis berharap dapat melihat sedikit anjakan dalam jalan cerita drama-drama yang bakal ditayangkan kelak.