berita

Menteri Besar Selangor Redah Banjir Selamatkan Penduduk Terkandas Di Taman Sri Muda

December 20th, 2021 | by Hariz
Kini Trending

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari turun padang meredah banjir bagi membantu mengeluarkan mangsa yang terkandas di Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor.

Amirudin tegas operasi SAR diteruskan

Sejak Jumaat, Menteri Besar Selangor itu dilihat sibuk mengerahkan semua unit bantuan yang ada untuk menyelamatkan mangsa banjir dan membuka banyak tempat pemindahan sementara. Amirudin juga difahamkan berhubung terus dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, memohon bantuan aset-aset Persekutuan dan penglibatan tentera bagi menyelamatkan mangsa banjir.

Selain Klang dan Puchong, Taman Sri Muda yang terletak di Shah Alam juga merupakan antara kawasan yang terjejas teruk akibat banjir yang melanda sekitar Selangor. Menerusi perkongsian terbaru di Twitter, beliau mengambil masa lebih empat jam untuk membantu mangsa yang terkandas di sana.

Beliau berkata, pihaknya berhadapan dengan cabaran air yang masih belum surut dan suasana gelap sepanjang operasi menyelamat serta kereta yang terbengkalai menyukarkan pergerakan.

Saya di Taman Sri Muda malam ini bersama pasukan penyelamat membantu menyelamatkan mangsa yang terkandas. Cabaran yang dihadapi selain dari air yang masih belum surut ialah suasana gelap gelita serta kereta yang terbengkalai menyukarkan pergerakan.

Antara yang diselamatkan adalah sebuah keluarga dengan anak yang baru lahir serta warga emas.

Amirudin berkata, operasi mencari dan menyelamat akan diteruskan lagi dengan bantuan pasukan Bomba, serta Pasukan Gerakan Am (PGA), dan operasi diselaraskan oleh Ketua Polis Shah Alam.

Sebelum ini, dilaporkan kira-kira 300 penduduk kawasan Taman Sri Muda terperangkap banjir sejak Sabtu berjaya diselamatkan pagi Ahad, dan kesemua mereka kini ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) dan akan dibenarkan pulang selepas banjir surut.

Setakat jam 10 pagi ini, seramai 32,044 individu telah ditempatkan di 162 Pusat Penempatan Sementara (PPS) di seluruh 9 daerah dalam Negeri Selangor. Daerah Klang mencatatkan jumlah tertinggi dengan jumlah 18,858 individu.

Sumber: Twitter

SKIP THIS AD ×