berita

Menteri Pertahanan Turun Padang, Pantau Kesiapsiagaan ATM Dalam Menghadapi Banjir Di Terengganu

December 24th, 2022 | by Azyan
Kini Trending

Hujan yang berterusan mengakitbatkan beberapa negeri di seluruh Malaysia dinaiki air. Segala pertolongan kini sedang giat dijalankan bagi membantu mangsa-mangsa banjir agar dipindahkan ke tempat yang selamat.

Peka akan kejadian tersebut, Menteri Pertahanan Malaysia, YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan telah turun padang ke Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (Para) (18 RAMD (Para)), Kem Sri Pantai, Kuala Terengganu pada 23 Disember  yang lalu bagi meninjau keadaan semasa banjir.

Dikesempatan itu, beliau juga melihat sendiri bagaimana pengoperasian serta kesiapsiagaan warga dan aset ATM dalam membantu tugas sekunder ATM bagi menjalankan Operasi Murni (OP MURNI) ATM.

Warga dan aset ATM telah diaturgerak- OP Murni telah dijalankan

Ketika peninjauan tersebut, Menteri Pertahanan telah ditaklimatkan mengenai pengoperasian Op Murni oleh pasukan di bawah Kawasan Tanggungjawab (KTJ) 8 Briged di Kem Seri Pantai, 18 RAMD (PARA).

 

Taklimat tersebut turut dihadiri oleh Panglima Angkatan Tentera, YBhg. Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Affendi bin Buang TUDM, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, YBhg. Dato’ Sri Muez bin Abd Aziz, Panglima Tentera Darat, YBhg. Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Zamrose bin Mohd Zain.

Warga dan aset-aset ATM telah diatur gerakkan untuk membantu menjalankan operasi menyelamat dan membantu mangsa terlibat sejak 7 Oktober lalu di bawah formasi Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat.

Aset-aset milik ATM ini sangat membantu dalam operasi menyelamatkan serta mengagihkan makanan ketika banjir

Hasil gabungan aset-aset milik ATM dan setiap agensi ini amat diperlukan dan membantu bagi memindahkan mangsa banjir ke kawasan selamat khususnya Pusat Pemindahan Sementara (PPS).  

Bukan itu sahaja, bantuan ini juga sangat membantu dalam proses mengagihkan makanan dan barang keperluan ke PPS serta kawasan yang terputus hubungan jalan darat.

 

Sehingga kini, jumlah warga ATM dan aset yang terlibat di Pantai Timur adalah seperti berikut;

  1.  Terengganu : Seramai 13 Pegawai dan 308 Anggota telah digerakkan bersama 20 buah trak dan 7 buah bot tempur dan enjin serta pelbagai peralatan tambahan perairan dan perhubungan komunikasi.
  2. Kelantan : Seramai 9 Pegawai dan 350 Anggota telah diatur gerak bersama 21 buah trak dan 9 buah bot tempur dan enjin serta pelbagai peralatan tambahan perairan dan perhubungan komunikasi.

Disamping itu, bagi memastikan koordinasi operasi dan bantuan berjalan dengan lancar, Pihak ATM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta pihak berkuasa tempatan telah bekerjasama dengan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) peringkat daerah.

Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan juga melawat ke PPS SK BANGGOL PERADONG

Dikesempatan itu, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad juga turut hadir ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Banggol Peradong, Manir, Kuala Terengganu bagi melihat sendiri keadaan dan menyantuni mangsa- mangsa yang ditempatkan di PPS ini.

Dibuka pada 19 Disember 2022, PPS SK Peradong ini boleh menempatkan sehingga 1000 mangsa dalam satu-satu masa. Sehingga 23 Disember 2022, seramai 761 mangsa yang terdiri daripada 213 keluarga telah ditempatkan di PPS ini.

Kebiasaanya hujan lebat menjadi punca banjir namun bagi 10 kampung ini, punca banjir di kawasan ini berlaku bukan disebabkan air hujan setempat, tetapi berikutan air banjir yang mengalir ke kuala dari Hulu Terengganu.

Justeru itu, bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa terlibat, Kementerian Pertahanan menerusi Menteri Pertahanan telah menyampaikan beberapa sumbangan barangan keperluan asas kepada mangsa yang terlibat.

Perkembangan OP Murni seluruh negara dan langkah seterusnya

Secara keseluruhannya, jumlah anggota dan aset ATM yang telah diaturgerak di seluruh negara bagi negeri-negeri yang dilanda banjir setakat ini adalah seperti yang berikut:

  1. 28 pegawai dan 539 anggota Lain-Lain Pangkat.
  2. 98 aset merangkumi 11 trak 7 tan; 38 trak 3 tan; 5 trak 1 tan; 22 bot, dan 22 x
    OBM bot.

OP MURNI ATM telah diaktifkan semula berkuatkuasa mulai 7 Okt 22 di mana semua Appointed Military Commanders (AMC) boleh mengaturgerakkan pasukan bagi membantu mangsa banjir tanpa perlu menunggu arahan daripada PKOB.

Walaubagaimanapun, ianya tertakluk kepada penilaian situasi banjir di KTJ masing-masing.

ATM akan terus memberi tumpuan terhadap operasi banjir di negeri dan kawasan yang terjejas yang merangkumi 3 fasa utama aturgerak OP MURNI iaitu Pra-Aturgerak Banjir (Sebelum), Semasa Banjir dan Pasca Banjir (selepas).

Demi menjamin kesejahteraan masyarakat dan rakyat, ATM akan tetap bersama dan sentiasa bersedia menghulurkan khidmat bakti dan perancangan khusus operasi pasca banjir di negeri-negeri terlibat juga akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

YB Menteri Pertahanan juga menyeru agar semua warga yang terlibat dalam Misi OP Murni untuk terus bersemangat dan menjaga keselamatan masing-masing sewaktu melaksanakan tugas.

SKIP THIS AD ×