berita

Menteri Pulang Dari Luar Negara Hanya Perlu Jalani Pemantauan Selama 3 Hari

February 9th, 2021 | by Zulaikha
Kini Trending

Semalam, Menteri Kesihatan Malaysia, Dr Adham Baba, telah mengeluarkan perintah yang melonggarkan peraturan kuarantin kepada rakan-rakan anggota kabinet yang melakukan perjalanan rasmi ke luar negara.

Sebelum ini, mana-mana individu yang pulang dari luar negara perlu menjalani kuarantin wajib selama 10 hari di rumah masing-masing sekiranya ujian calit yang dilakukan menunjukkan keputusan yang negatif. Manakala, mereka yang positif sejurus ujian calit itu dilakukan, akan terus dihantar ke hospital bagi rawatan susulan.

10 hari ke tiga hari

Foto: Kofnikel

Menerusi Perintah yang bertajuk ‘Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian) 2021’ terbit pada Warta Persekutuan semalam, pada dasarnya akan mengurangkan tempoh kuarantin bagi jemaah menteri dari 10 hari menjadi tiga hari. Perintah tersebut telah ditandatangani oleh Adham dan akan mula berkuat kuasa pada hari ini.

Seksyen 15 akta ini memperuntukkan, seseorang pegawai diberi kuasa boleh memerintahkan supaya mana-mana kontak menjalani pemerhatian di mana-mana tempat dan bagi apa-apa tempoh yang difikirkannya patut, atau menjalani pengawasan sehingga dia boleh dilepaskan tanpa membahayakan orang ramai.

Dengan perintah yang dikeluarkan Adham, anggota kabinet tidak perlu lagi menjalani prosedur operasi standard (SOP) tempoh kuarantin 10 hari yang ditetapkan oleh pihak kerajaan untuk mereka yang masuk dari luar negara.

Jemaah menteri yang kembali dari mana-mana lawatan rasmi luar negara hendaklah menjalani pemerhatian selama tiga hari atau menjalani pengawasan sehingga boleh dilepaskan tanpa membahayakan orang ramai.

Walau bagaimanapun, rata-rata netizen meluahkan rasa tidak berpuas hati dengan ‘perintah’ tersebut yang disifat akan memberi impak yang negatif terhadap rakyat.

SKIP THIS AD ×