berita

Menyamar Jadi Polis, Larikan Jongkong Emas RM12 Juta, Kisah Rompakan ‘Geng Mamak’ Ini Pernah Gemparkan Malaysia

January 19th, 2021 | by Amirul Asraf
Kini Trending

Ketika seluruh rakyat Malaysia sedang bergembira menyambut Hari Kebangsaan pada tanggal 31 Ogos 1994, negara dikejutkan dengan satu berita rompakan paling terbesar dalam sejarah. Kehebatan ‘Geng Mamak’ yang tidak pernah menembak, membunuh dan sekadar penyamaran serta pujukan berjaya membuatkan mereka melarikan jongkong emas bernilai RM12 juta dari kompleks kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Subang (LTAS).

Siapa ‘Geng Mamak’?

Youtube: Samida Wendel

Geng Mamak ini diketuai oleh lima beradik iaitu Mohamed Noor, Sharif, Rozlan, Amirudin dan Yusof Abu Bakar. Mereka dipercayai berasal dari Kuala Kangsar, Perak dan mempunyai darah campuran rakyat Sri Lanka dan Malaysia. Ibu bapa mereka berasal daripada golongan sederhana dan mereka terpaksa mengawal perbelanjaan setiap hari. Sejak kecil, lima beradik ini sering mencuri sekiranya mereka tidak mendapat apa yang diingini. Perbuatan tersebut diteruskan sehingga mereka meningkat dewasa. Mengenai rompakan terbesar yang dilakukan, kelima-lima beradik ini turut dibantu oleh sembilan orang lagi saudara mereka.

Kronologi kes rompakan

Kisah rompakan ini bermula ketika semua pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang sibuk menguruskan persiapan keselamatan sambutan Hari Kebangsaan kali ke-37 yang bakal dihadiri Perdana Menteri pada ketika itu. Tetapi, persiapan polis terganggu di sekitar jam 5 pagi apabila mereka diberitahu bahawa kawasan kargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang telah dirompak. Lebih mengejutkan, jongkong emas bernilai lebih daripada RM12 juta telah hilang.

Sebaik sahaja mendapat maklumat tersebut, pihak polis terus bergegas ke tempat kejadian. Setibanya di sana, pihak polis mendapati tiga orang pengawal keselamatan yang bertugas telah rebah dan diikat di satu sudut. Apabila ketiga-tiga mereka disoal siasat, salah seorang daripada pengawal ini memaklumkan rompakan tersebut dilakukan oleh pihak polis. Terkejut dengan tuduhan yang didengar, pihak polis memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di gudang kargo berkenaan.

Menerusi rakaman CCTV, sekumpulan penjenayah ini kelihatan seperti polis kerana mereka berpakaian seragam pihak berkuasa. Namun, pergerakan tangan dan badan mereka berjaya membuktikan bahawa mereka semua hanyalah penjenayah dan penyamar. Hasil siasatan juga, kesemua mereka ini dipercayai sudah merancang strategi rompakan dengan teliti. Bahkan, tarikh yang dipilih itu sangatlah sesuai memandangkan ramai kakitangan gudang tersebut mengambil cuti sempena Hari Kebangsaan. Pihak polis juga merasakan bahawa jenayah licik sebegini sudah pastinya dilakukan oleh geng penjenayah antarabangsa.

Masalah mencari bukti

Foto: rakaman CCTV ketika kejadian

Ketika pihak polis cuba sedang menyiasat dan mencari identiti kesemua perompak, seluruh media pada waktu itu tidak henti memberi liputan. Perdana Menteri Malaysia pada waktu itu, Dr Mahathir Mohammad juga didakwa memberi kritikan terhadap pengurusan keselamatan di lapangan terbang tersebut. Beliau didakwa mempersoalkan tahap tanggungjawab para pekerja dan meminta mereka bertanggungjawab di atas kecuaian dan kecurian yang berlaku. Beliau turut mendakwa kalau jongkong emas boleh hilang daripada lapangan terbang, tidak mustahil kapal terbang pun boleh hilang.

Seakan menerima satu tamparan hebat daripada Perdana Menteri, pihak polis dengan segera telah menubuhkan satu unit khas untuk menjejak pencuri tersebut. Pasukan khas ini diketuai oleh anggota polis yang paling terkenal iaitu Azizan Anan dan Amidon Anan. Mereka berdua merupakan adik beradik yang sangat dikenali dan berkhidmat sebagai polis. Meskipun unit khas ini dianggap sebagai yang terbaik kerana diketuai Azizan dan Amidon, mereka juga masih belum berjaya mencari bukti yang mencukupi dan mengenalpasti kesemua suspek. Ini kerana, mereka masih merasakan sindiket rompakan tersebut dilakukan oleh penjenayah antarabangsa.

Oleh sebab tidak menjumpai apa-apa kaitan dengan mana-mana sindiket antarabangsa, barulah mereka mengalihkan tumpuan kepada geng-geng yang wujud di dalam negara. Setiap fail dan kes rompakan yang pernah terjadi di Malaysia telah dibuka semula. Hasil selidik tersebut, pihak polis terkejut kerana pernah wujud satu geng di Malaysia yang pernah menggunakan modus operandi yang sama iaitu menyamar sebagai pihak berkuasa sebelum melakukan rompakan. Dari situlah juga, perompak yang dikenali sebagai ‘Geng Mamak’ ini disiasat. Menurut Penganalisis Jenayah, Kamal Affendi, Geng Mamak adalah kumpulan pertama dalam landskap jenayah di Malaysia yang bukan sekadar merancang cara merompak tetapi merancang sehingga ke tahap apa yang perlu dilakukan bila ditangkap dan dijamin. Malah, mereka sangat licik dan bijak dari segala segi persis kumpulan penjenayah antarabangsa.

Berjaya tangkap mastermind

Foto: Berita Harian ( Yusof Abu Bakar didakwa di Mahkamah Sesyen dan Majistret Ipoh di atas tujuh pertuduhan membabitkan pelbagai kes jenayah pada Disember 2014.)

Dipendekkan cerita, Amidon berjaya mengesan salah seorang ahli ‘Geng Mamak’ di Klang setelah beberapa bulan daripada siasatan dilakukan. Tetapi malangnya, penjenayah tersebut berjaya melarikan diri. Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga merupakan peribahasa yang sesuai digambarkan apabila ketua kumpulan geng mamak iaitu Rozlan, akhirnya berjaya ditangkap oleh pihak polis. Penangkapan Rozlan juga disusuli dengan tangkapan ke atas kira-kira 20 ahli Geng Mamak yang lain pada tahun yang sama.

Sepanjang tahun 1995 hingga 2006 itu juga, pihak polis gagal untuk menemui jongkong emas yang dirompak dan disembunyikan itu. Kes ini dibawa ke Makahmah Seksyen Petaling Jaya. ‘Geng Mamak’ ini juga telah melantik Dato’ Kumarendran sebagai peguambela mereka. Dato’ Kumarendran berjaya meyakinkan hakim dengan mendakwa pihak pendakwa mempunyai bukti yang lemah. Memang secara kebetulan, pihak berkuasa dipercayai menghadapi masalah ketika perbicaraan apabila tiada kesan cap jari tertuduh di tempat jenayah dan pekerja-pekerja gudang tersebut pula tidak dapat mengenalpasti semua muka penjenayah ini.

Namun begitu, salah sorang daripada ahli geng tersebut telah bersetuju untuk menceritakan segala jenayah yang telah mereka lakukan dan secara tak langsung menjadikanya sebagai saksi utama dalam kes ini. Hal ini juga telah membawa kepada penangkapan mastermind kumpulan tersebut, Sharif Abu Bakar. Mengenai jongkong emas yang dirompak, kesemua emas-emas ini dipercayai telah dileburkan sebelum ianya dijual semula.

Anak pula jadi perompak

Sepanjang perbicaraan berlangsung di mahkamah, saksi utama yang bakal menentukan nasib penjenayah-penjenayah ini telah hilang secara misteri dan sampai ke hari ini dia tidak dapat dikesan. Di sebabkan hal ini juga, pihak makhamah terpaksa membebaskan kesemua mereka oleh kerana, pihak pendakwa dan polis gagal membawa saksi baru ke mahkamah ketika perbicaraan berlangsung.

Namun begitu, kes ini masih lagi dibuka sehingga ke hari ini dan sekiranya saksi utama muncul semula, atau polis menjumpai bukti-bukti baru, kelima-lima beradik ini boleh didakwa semula di makahmah. Pihak polis juga pernah menggunakan Akta Ordinan Darurat buat kesemua mereka selepas mendapati mereka masih meneruskan aktiviti jenayah setelah dibebaskan. Penahanan tersebut telah dikuatkuasa selama dua tahun bagi menghentikan aktiviti jenayah yang dilakukan.

Setelah 27 tahun berlalu, sehingga kini masih tiada sesiapa yang disabtkan bersalah di atas jenayah rompakan emas paling besar itu. Bahkan, anak kepada Yusuf Abu Bakar iaitu Khairul Affendi pula dipercayai menjadi ketua geng kumpulan ini. Mereka juga masih meneruskan modus operandi ‘Geng Mamak’ iaitu menggunakan pakaian seragam pihak berkuasa untuk melakukan rompakan.

Sumber: Samida Wendel & Iluminasi

SKIP THIS AD ×