Beberapa hari yang lalu tularnya isu mengenai seorang penyanyi terkenal yang dilihat bercanggah dan berbeza pendapat disebabkan sebuah rumah banglo sehinggakan mereka bertindak membuka pekung di dada melalui media sosial.
Pastinya, ramai yang tertanya-tanya apakah hukum sekiranya seseorang itu memilih untuk bermasam muka dan bergaduh sesama ahli keluarga sehingga memilih untuk memutuskan hubungan silatarrahim yang telah lama terbina.
Artikel Berkaitan: ‘Kalau Kakak Meninggal, Barulah Rumah Itu Jadi Pusaka’
Termasuk dalam dosa besar
Menurut jawapan dan pencerahan yang diambil dari laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, memutuskan silatarrahim merupakan perbuatan yang termasuk dalam kategori dosa besar.
Perbuatan tersebut boleh berlaku dengan cara meminggirkan orang sekeliling termasuklah tidak berlaku ihsan kepada mereka seperti tidak memberikan harta ketika mereka dalam keadaan yang sangat memerlukan serta tidak menziarahi mereka tanpa ada sebarang keuzuran.
Selain itu, memutuskan silaturrahim ini juga boleh berlaku dengan menyakiti hati, tidak menziarahi serta tidak cuba membantu ahli keluarga meskipun mempunyai kemampuan berbuat demikian.
Allah berfirman dalam Surah Muhammad ayat 22-23 yang bermaksud;
(Kalau kamu tidak mematuhi perintah) maka tidakkah kamu harus dibimbang dan dikhuatirkan, jika kamu dapat memegang kuasa, kamu akan melakukan kerosakan di muka bumi, dan memutuskan hubungan silaturrahim dengan kaum kerabat?, (Orang-orang yang melakukan perkara yang tersebut) merekalah yang dilaknat oleh Allah serta ditulikan pendengaran mereka, dan dibutakan penglihatannya.
‘Tidak masuk syurga’
Selain itu, perkara ini turut diriwayatkan dalam hadis Jubair bin Muthim RadhiAllahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang membawa maksud;
Tidak masuk syurga orang yang memutuskan silaturrahim.
Perkataan ‘tidak masuk syurga’ itu bukanlah bermaksud seseorang itu tidak layak untuk masuk ke dalam syurga Allah tetapi ia membawa maksud tidak akan masuk ke dalam syurga bersama golongan terawal.
Namun begitu, hadith ini jelas menunjukkan bahawa betapa pentingnya seseorang Islam itu dituntut untuk menjaga hubungan silaturrahimnya sesama manusia terutama sekali adik beradik.
Secara kesimpulannya, setiap manusia yang ada di muka bumi itu tidak lari dari melakukan kesilapan. Sehubungan dengan itu, kita perlulah bermuhasabah diri dan sentiasa berusaha untuk memperbaiki hubungan dalam memastikan hubungan silaturrahim sesama manusia itu terjaga.
Terdahulu, perang antara adik beradik Syada bermula selepas kakaknya yang juga penyanyi terkenal Shila Amzah mengaku mahu menjual rumah banglo yang didiami keluarganya.
Menurut Shila, tujuan dia mahu menjual kediaman tersebut kerana ingin membelikan sebuah kondo yang baharu.
Bagaimanapun, kenyataan Shila telah dinafikan oleh dua adik beradiknya iaitu Syada dan Amir Syafiq.
Syafiq mendakwa, penyanyi berusia 33 tahun itu mahu menjual rumah berkenaan disebabkan wang.
Sementara itu, Syada mendakwa dia dan keluarga telah dihalau dan dilayan seperti haiwan jalanan.