Pelantun suara ‘Selamat Ulang Tahun Sayang’ iaitu Imran Ajmain menyangkal dakwaan mengenai desas-desus yang mengatakan hubungan persahabatan antara dia dan penyanyi, Datuk Fazley Yaakob, tidak lagi erat.
Artikel Berkaitan: Fazley Yaakob Nafi Bergaduh Dengan Imran Ajmain – ‘Saya Jarang Ada Masalah Dengan Orang’
Hubungan masih baik
Menurut Imran, hubungannya dengan Fazley masih lagi baik meskipun dia sudah berhenti memegang jawatan di syarikat milik penyanyi lagu ‘Bila April’ itu.
Menerusi temu bual bersama OhBulan!, Imran berkata, hubungan rapat antara dia dengan empat anak-anak penyanyi itu terutama yang bongsu sentiasa menjadi penguat persahabatan mereka.
Tambah Imran, dia bersyukur kerana menerima sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada keluarga Fazley.
Saya rapat dengan keempat-empat anaknya terutama, yang bongsu. Saya pak cik untuk mereka. Anak yang bongsu tu dari lahir saya selalu jumpa. Saya tak boleh tinggalkan mereka. Kami rapat sangat. Saya bertuah sebab keluarga dia sentiasa menyokong saya seperti keluarga sendiri. Sokongan mereka membuak-buak kepada saya.
Disoal sama ada keluarga Fazley akan hadir ke konsertnya yang bakal berlangsung pada 2 dan 3 Februari ini, Imran berkata, dia ada menyediakan tempat untuk mereka.
Saya ada sediakan tempat untuk mereka hadir ke acara konsert nanti. Tapi, tak tahulah siapa yang akan datang.
Imran ditemui pada sidang media pelancaran lagu Padam dan Pergi serta Konsert Malam Seribu Tahun, petang tadi, di Volvo Cars Ingress Swede Automobile Mutiara Damansara.