berita

Meriah! Rumah Terbuka Hot FM Buletin FM Rai Pendengar Setia & Anak-Anak Yatim

May 22nd, 2023 | by Alia
Kini Trending

Hot FM dan Buletin FM telah menganjurkan majlis Rumah Terbuka bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan kerjasama Ascott Malaysia melalui jenama mereka Oakwood Hotel & Residence Kuala Lumpur pada 21 Mei lalu.

Artikel Berkaitan: KJ Sambung Kontrak DJ Hot FM, Sampai Hujung Tahun Ini

Majlis yang bermakna

Sambutan Hari Raya bagi seluruh keluarga Hot FM dan Buletin FM pada tahun ini sudah semestinya sangat bermakna kerana penganjuran kali ini dihadiri oleh anak-anak yatim daripada Rumah Penyanyang Darul Ilmi Gombak serta pendengar setia Hot FM dan Buletin FM yang bertuah dijemput bersama-sama memeriahkan majlis ini.

Dianggarkan seramai 45 orang anak yatim dan 40 pemenang menghadiri Rumah Terbuka ini dengan disajikan persembahan istimewa daripada para selebriti terkenal tanah air iaitu Amir Masdi, Zizi Kirana, Amir Johari, Syafiq Abdillah dan Haiza Hanafi.

Majlis Rumah Terbuka ini diadakan bukan sahaja untuk berkongsi kenikmatan juadah hari raya, tetapi ia merupakan satu kesempatan untuk pihak penganjur bagi mendekati para tetamu yang dijemput dengan lebih rapat selain menyediakan hiburan yang menarik kepada mereka.

‘Rumah Terbuka yang istimewa..’

Sementara itu, Ketua Rangkaian Kandungan Hot FM, Digital & Audio+, Shah Hayatudin menyifatkan Rumah Terbuka pada tahun ini sebagai sesuatu yang istimewa terutama dengan kehadiran Khairy Jamaluddin sebagai penyampai di Hot FM.

Rumah Terbuka Hot FM Buletin FM kalini adalah rumah terbuka yang istimewa dimana kita dapat peluang untuk bersama-sama dengan anak-anak yatim juga raya kalini bersama Khairy Jamaluddin (KJ). Sejujurnya peluang seperti ini adalah peluang yang tidak mudah untuk kita dapat, bukan itu sahaja bagi saya ia adalah penutup Hari Raya yang memberi ingatan yang istimewa buat yang datang bersama kita pada hari Rumah Terbuka.

Beliau juga turut meluahkan rasa gembira dengan kejutan kontrak bekas Menteri Kesihatan itu telah disambung sehingga akhir tahun ini selepas tiga bulan bergelar penyampai radio.

Selain itu, dengan kembalinya DJ KJ kami berharap agar pendengar akan sentiasa dengarkan Hot FM sepanjang masa dan tidak terlepas untuk dengarkan isu semasa yang dibincangkan di Buletin FM setiap hari tidak kira dimana anda berada.

Dalam pada itu, pihak Hot FM dan Buletin FM berharap agar majlis Rumah Terbuka yang dianjurkan dapat memberi impak positif dan menjadi kenangan yang manis buat setiap tetamu yang hadir sebagai penutup Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Untuk info, para pendengar kini boleh mendengar Hot FM dan Buletin FM secara langsung di www.hotfm.audio dan YouTube Hot TV juga di www.buletinfm.audio dan Youtube Buletin TV.

SKIP THIS AD ×