
Hot FM terus mengukuhkan posisinya sebagai stesen radio nombor satu dengan memperkenalkan pembaharuan menerusi penyertaan Haniff Hamzah sebagai wajah baharu dalam keluarga mereka.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Aisha Mazlin Berat Hati Tinggalkan Hot FM, Rancang Kembali Ke Dunia Lakonan & Buka Bisnes
Artikel Berkaitan: Hot FM Catat Rekod Asean, Siaran Langsung Radio Terdalam Di Laut Terbuka
Haniff bawa nafas baru

Kehadiran Haniff bukan sekadar menambah variasi, malah membawa nafas segar kepada kandungan yang lebih moden dan selari dengan selera pendengar masa kini.
Dengan personaliti yang versatil serta gaya penyampaian yang unik, dia dijangka mampu menawan hati audiens daripada pelbagai peringkat umur.
Selain itu, Haniff bakal digandingkan bersama Fizi Ali menerusi segmen ‘Hot Vibe Club’ yang akan ke udara setiap hari Isnin hingga hari Jumaat, dari jam 3 petang hingga jam 7 malam.
Kolaborasi ini dijangka menghasilkan satu kombinasi baharu yang lebih bertenaga dan menghiburkan.
Segmen ini juga akan mengetengahkan pelbagai kandungan menarik, di samping mengeratkan lagi hubungan interaktif antara penyampai dan pendengar secara lebih dekat dan autentik.
Dalam masa sama, Haniff menyatakan bahawa penyertaannya dalam Hot FM adalah impiannya yang akhirnya menjadi kenyataan dan menganggap langkah ini sebagai fasa penting dalam kerjayanya, selain melihat stesen radio berbahasa Melayu lebih dekat dengan identiti dirinya.
Hot FM sememangnya merupakan sebuah stesen radio yang telah lama saya impikan untuk menjadi sebahagian daripadanya.
Saya melihat Hot FM sebagai stesen yang sangat dekat dengan jiwa pendengar dan mempunyai identiti yang kuat dalam industri radio tempatan.
Peralihan saya daripada Fly FM ke Hot FM juga merupakan satu keputusan yang sangat bermakna dalam perjalanan kerjaya saya, kerana saya merasakan bahawa stesen radio berbahasa Melayu lebih selari dengan diri dan cara saya berkomunikasi dengan pendengar.
Ia memberi ruang yang lebih luas untuk saya mengekspresikan diri dengan lebih autentik dan dekat dengan audiens.
Saya sangat teruja untuk memulakan fasa baharu ini bersama Fizi Ali dan seluruh keluarga Hot FM, serta berharap dapat memberikan yang terbaik kepada semua pendengar.
Dengan pengalaman yang sangat luas sebagai penyampai radio berbahasa melayu, saya yakin kombinasi Fizi Ali dan Haniff Hamzah boleh menjadi antara show terbaik di Malaysia dan boleh membantu Hot FM untuk terus kekal relevan secara keseluruhan.
Langkah kekalkan kedudukan sebagai nombor satu

Selain itu, penyertaan Haniff ini turut mencerminkan usaha berterusan Hot FM untuk kekal relevan dalam landskap penyiaran radio yang sentiasa berubah.
Melalui pembaharuan ini, stesen berkenaan bertekad untuk terus menyajikan kandungan berkualiti tinggi serta mengekalkan kedudukannya sebagai pilihan utama pendengar di Malaysia.
Selain memperkenalkan barisan penyampai dan segmen baharu, Hot FM juga tampil dengan imej yang lebih segar, moden dan berani.
Di samping itu, Hot FM boleh diikuti melalui frekuensi 97.6FM di Lembah Klang, 88.2FM di Alor Setar dan Pulau Pinang, 104.5FM di Ipoh, 90.1FM di Johor Bahru dan Singapura, 92.4FM di Kuantan, 88.6FM di Kota Bharu, 87.7FM di Kota Kinabalu, 94.3FM di Kuching, 104.3FM di Melaka, 99.5FM di Seremban, 90.5FM di Taiping serta 105.0FM di Kuala Terengganu.
Dalam pada itu, Shah Hayatudin selaku Kumpulan Rangkaian Pengarah, Media Prima Audio, Hot FM sentiasa berusaha bergerak ke hadapan bagi mengekalkan kedudukannya sebagai pilihan utama pendengar, dan gandingan Haniff Hamzah serta Fizi Ali dalam segmen petang ini merupakan antara langkah strategik ke arah itu.
Hot FM sentiasa melangkah ke hadapan dalam usaha mengekalkan kedudukan sebagai pilihan nombor satu pendengar.
Gandingan dua penyampai yang bertenaga menerusi segmen ‘Hot Vibe Club’ bersama Fizi Ali dan Haniff Hamzah merupakan salah satu langkah ke arah itu.
Perubahan ini membawa elemen dinamik kepada jenama Hot FM serta pengalaman pendengar, khususnya pada waktu kemuncak siaran petang.
Kami menantikan keunikan personaliti mereka yang pastinya akan menceriakan suasana dan menghiburkan pendengar.
Kami yakin audiens akan turut menikmati gandingan baharu ini.







