
Selepas hampir setahun membuat persiapan dan berdepan pelbagai rintangan, pasukan Bekpes Hot akhirnya berjaya mencipta sejarah apabila kempen Bekpes Hot Scuba diiktiraf oleh Asia Book of Records sebagai First and Deepest Outdoor Underwater Live Radio Broadcast in Open Sea.
Artikel Berkaitan: Hot FM Terima Sijil Asia Book Of Records, Cipta Sejarah Siaran Langsung Dasar Laut
Artikel Berkaitan: Hot FM Catat Rekod Asean, Siaran Langsung Radio Terdalam Di Laut Terbuka
Semangat kerjasama

Pengiktirafan tersebut diberikan selepas Hot FM berjaya melaksanakan siaran langsung dari dasar laut pada kedalaman 10 meter di Pulau Bidong, Terengganu pada Ogos tahun lalu.
Walaupun begitu, perjalanan untuk menjayakan misi berkenaan bukan sesuatu yang mudah apabila Johan hampir membatalkan penyertaan seminggu sebelum program berlangsung.
Manakala Khairy Jamaluddin atau lebih mesra disapa KJ, hampir pengsan sehari sebelum siaran dijalankan.
Namun, semangat kerjasama antara penyampai termasuk AG dan Fara Fauzana bersama kru produksi berjaya memastikan cabaran tersebut diteruskan sehingga mencipta rekod tersendiri.
Jalani latihan intensif

Ketika ditemui OhBulan!, Shah Hayatudin selaku Pengarah Rangkaian Kumpulan Media Prima Audio (MPA), berkongsi bahawa persiapan selama 10 bulan dilakukan secara terperinci bagi memastikan keseluruhan misi berjalan lancar.
Setiap penyampai dan kru perlu mendapatkan lesen menyelam terlebih dahulu.
Proses itu juga bukan sesuatu yang boleh dilakukan dalam masa yang singkat.
Kami juga bekerjasama dengan Universiti Malaysia Terengganu dan Unit Tindakan Khas, selain mengambil kira faktor teknikal, cuaca dan risiko keselamatan.
Katanya lagi, cabaran terbesar bukan sahaja melibatkan aspek fizikal, malah tekanan mental kerana penyampai-penyampai yang terlibat bukan penyelam profesional dan perlu menyesuaikan diri dengan latihan intensif.
Selain itu, penggunaan peralatan komunikasi seperti topeng muka penuh ketika berada di bawah air turut memberi tekanan kepada penyampai yang terlibat.
KJ sendiri hampir pitam sehari sebelum misi kerana tidak tahan dengan tekanan air.
Ketika itu, peluang kejayaan hanya 50-50 kerana banyak faktor di luar jangkaan.
Shah berkata demikian ketika ditemui pada sesi penyerahan sijil Asia Book of Records di Balai Berita, Bangsar, pada Isnin.
Dalam pada itu, Shah menjelaskan setiap penyampai hanya mempunyai satu peluang sahaja bagi melengkapkan siaran kerana mereka bergantung kepada satu tangki oksigen selain perlu mematuhi prosedur penyahmampatan yang ketat.
Detik paling bermakna apabila mereka berjaya menghabiskan siaran dan muncul semula ke permukaan dengan selamat.
Sehubungan itu, usaha menghasilkan sesuatu yang luar biasa itu juga merupakan strategi Hot FM untuk terus kekal relevan dalam era digital serta perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Kami mahu mencipta kandungan unik dan membuka peluang baharu kepada pengiklan, selain mempromosikan pemuliharaan alam marin melalui kerjasama dengan UMT.








