Pelakon Mierul Aiman meluahkan rasa syukur kerana impiannya untuk membawakan watak utama bagi drama di bawah jenama Media Prima Berhad (MPB) akhirnya menjadi kenyataan.
Artikel Berkaitan: Mierul Aiman Mengaku Masih ‘Single’ – ‘Dekat Rumah Rasa Macam Sunyi, Tapi Takpelah Saya Ada Mama’
Andra karakter unik
Menerusi temu bual bersama OhBulan! di Sri Pentas, Mierul atau nama sebenarnya, Mohammad Amirul Aiman Norazman memberitahu dia akan tampil dengan sebuah drama 10 episod berjudul Anak-Anak Mafia terbitan Zeel Production yang ditayangkan menerusi aplikasi Tonton TV3.
Ujar Mierul, dia diberi tanggungjawab sebagai Andra iaitu seorang pemuda dari Pakistan yang nekad ke Kuala Lumpur untuk membalas dendam terhadap kematian ibu bapanya 24 tahun lalu.
Turut membintangi drama ini ialah Scha Elinnea, Fitri Farok, Fariz Isqandar dan Zhen Ning.
Ini pengalaman pertama saya sebagai watak utama untuk drama di MPB. Dah tentu ada keikhlasan dan keterujaan apabila saya membawakan watak Andra.
Dah beberapa kali saya dilamar Zeel Production khususnya MPB. Pengurusan saya pula sentiasa terbuka untuk saya berlakon dengan mereka.
Kami berpegang pada misi untuk jayakan naskhah yang baik untuk industri. Drama ini pembabitan kali kedua saya dengan Zeel Production selepas Imam Instant Ustazah Scammer.
Tambah Mierul, dia gembira dan bersyukur kerana mendapat skrip yang baik, sekali gus jelas dengan watak yang diinginkan mereka.
Andra karakter unik. Yang menjentik hati saya berlakon cerita ini adalah bagaimana watak ini tiada langsung versi anarki. Watak hero ditonjolkan sangat positif.
Saya kena ‘study’ betul-betul dan gali nilai positif karakter ini. Sebelum ini saya pernah bawa watak keras dan ada juga yang longgar.
Saya teruja nak tunggu penggambaran Anak-Anak Mafia. Banyak juga kerja dibuat. Saya pernah ke Thailand untuk buat persiapan sebagai Andra. Saya bawa ‘Andra’ ke Thailand untuk cari pengalaman.
Selain itu, saya ada jurulatih peribadi di mana saya berlatih setiap tiga hari dan berehat sehari. Ia bagi menampakkan fizikal saya yang selesa dengan watak Andra.
Bekas Hero Remaja ini turut mengakui bahawa pembabitannya dalam drama Anak-Anak Mafia juga kerana dia ingin merasa energi hebat setiap pelakon cerita itu.
Karier nombor satu pada saya. Ia buatkan saya nak jumpa orang baru dan nak kenal mereka. Banyak bakat dalam industri yang muncul sekarang, namun saya bersyukur tetap ada rezeki.
Tawaran kerja dikira banyak. Tapi, ada yang terpaksa ditolak kerana jadual tak mengizinkan. Kalau misalnya ada tiga tawaran serentak, kena buat pilihan dan pilih mana yang terbaik.
Tak dinafikan ada waktunya saya penat, tapi penat bukan bermaksud saya tak suka. Ia lumrah bagi seorang manusia dalam apa yang dia buat. Penat yang saya lalui itu berkualiti. Saya gembira untuk lalui penat begini.
Ditanya mengenai apa lagi keinginan yang dimahukan dalam karier lakonan, Mierul berkata, dia teringin untuk berlakon dengan Que Haidar dan Wan Maimunah.