“Sektor industri pertahanan bukan sahaja adalah bahagian penting dari sistem pertahanan nasional, jika di bangunkan secara strategik, ia berupaya menjadi katalis penting untuk pertumbuhan dan keboleh saingan ekonomi negara,” berikut kata-kata Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Utama Mohamad bin Haji Hasan yang hadir dalam Sesi Ramah Mesra Bersama Pemain Industri Pertahanan anjuran Bahagian Industri Pertahanan, Kementerian Pertahanan yang telah diadakan di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM baru-baru ini.
Sesi Ramah Mesra ini adalah aktiviti Malaysian Industry Council For Defence, Enforcement And Security (MIDES) yang diurus seliakan oleh Kementerian Pertahanan, disamping sebagai tanda penghargaan kepada pemain industri selaku komponen penting pertahanan negara.
Signifikan sesi bersama pemain industri ini turut dijadikan sebagai salah satu agenda utama Kementerian Pertahanan.
Dalam sesi yang diwakili oleh 60 orang wakil pemain industri tempatan ini, YB Menteri Pertahanan turut menyampaikan beberapa mesej penting berkaitan inisiatif Kementerian Pertahanan yang sedang berlangsung bagi merancakkan pertumbuhan industri.
Menurut beliau, walaupun Malaysia masih jauh terkebelakang dalam sektor ekonomi berasaskan pertahanan, namun Malaysia mempunyai pelbagai potensi untuk membangunkannya dari segi ekonomi yang liberal, undang-undang yang teratur, usahawan yang ‘vibrant’ serta universiti dengan kemampuan penyelidikan termaju.
Walaupun begitu, kedudukan dan prestasi industri pertahanan negara tak boleh dibiarkan dalam keadaan ‘the current state of affairs’ berdasarkan sebab-sebab berikut:
Keperluan sistem pertahanan semakin kompleks
Dengan kecanggihan teknologi baru, kemunculan pelbagai ancaman bukan tradisional, perubahan iklim serta pelbagai lagi ancaman lain, negara mesti mempunyai industri pertahanan yang dipacu oleh teknologi dan sains termaju.
Malaysia sedang bergerak pantas menjadi ‘a middle power’
Memandangkan Malaysia kini sedang membangun dari segi ekonomi, pengaruh dan keterlihatan, negara kita secara pasti akan muncul sebagai kuasa pertengahan yang penting.
Ekonomi Malaysia memerlukan bidang keberhasilan baru
Tanpa sektor ekonomi yang diversified, Malaysia akan terus terperangkap dalam mod negara membangun.
Dalam pada itu, YB Menteri Pertahanan turut menjelaskan tentang ciri-ciri trend global dan bagaimana ia mempengaruhi pembangunan industri pertahanan Malaysia.
Ini termasuk kemunculan pelbagai pemain baru yang menawarkan teknologi, sains termaju dan inovasi luar biasa, new framework yang mempunyai implikasi besar terhadap model industri pertahanan, new rules dan model pembiayaan yang unggul dan lestari.
Tambahnya lagi, Malaysia mesti mempunyai strategi untuk menyediakan pemain sektor industri pertahanan menghadapi semua cabaran dan salah satu daripadanya adalah dengan penubuhan Malaysian Industry Council for Defence, Enforcement and Security atau MIDES.
Beliau turut menyeru supaya kerjasama yang erat perlu dibangunkan terutamanya antara pelbagai universiti dan institusi penyelidikan negara dan Institut Penyelidikan Sains Dan Teknologi Pertahanan atau STRIDE harus menjadi penyelaras segala kerjasama ini dalam membangunkan ekosistem penyelidikan yang lebih terangkum, strategik dan berprestasi.
Dalam pada itu, Kementerian Pertahanan akan melancarkan Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN) pada tahun ini dengan melakarkan pelbagai inisiatif dan ‘impetus’ untuk memacu perkembangan industri pertahanan negara.
Penggubalan Akta berkaitan industri pertahanan juga akan dilaksanakan memandangkan Malaysia memerlukan kerangka regulasi yang teratur untuk memacu keberhasilan industri pertahanan nasional.
“Harapan saya, dengan pelaksanaan DIPKN dan penggubalan undang- undang baru tersebut, industri pertahanan negara akan melalui transformasi yang radikal. Dan jika transformasi tersebut berjaya, sasaran sumbangan industri pertahanan kepada ekonomi Malaysia sebanyak RM17.23 bilion menjelang 2030, insyallah akan menjadi realiti,” ujarnya lagi.
Beliau juga berharap sesi pertemuan seperti ini akan lebih banyak diadakan dan melalui persefahaman semua antara Kerajaan, Industri, institusi penyelidikan dan agensi pembiayaan, sektor industri dan perniagaan pertahanan Malaysia akan dapat dicergaskan, menjadi lebih maju dan berdaya saing.
Turut hadir dalam sesi ramah mesra tersebut, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, YBhg. Dato’ Sri Muez bin Abd Aziz, Panglima Tentera Udara, YBhg. Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM, Ketua Staf Markas ATM, YBhg. Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi bin Hj Ahmad, wakil Panglima-Panglima Perkhidmatan serta Pihak Pengurusan Tertinggi Kementerian dan ATM.