Menerusi Kelab Cerita Hantu Malaysia, seorang wanita kongsi pengalaman sebagai jururawat di sebuah hospital bersalin sekitar tahun 1970-an sebelum dibangunkan semula pada tahun 1996. Kisah bermula apabila mereka diarahkan untuk membuka kembali 3 bilik untuk sebelum ini tidak pernah dibuka.
Namun selepas bilik tersebut dibuka, pelbagai kejadian aneh berlaku sehingga mereka menutup kembali ketiga bilik tersebut.
Terpaksa buka 3 bilik yang lama tak diguna
(sekadar gambar hiasan)
Assalamualaikum dan hai semua. Dah tidur ke? Cerita ketiga yang aku nak kongsikan ni macam biasalah, situasi dan kisah benar berdasarkan pengalaman sendiri. Biasalah bertugas di hospital. Tapi lain orang lain pengalamannya. Kali ni aku nak cerita kisah di tempat aku bertugas. Kepada sesiapa yang kenal aku tu mesti tau dan pernah baca kisah yang aku kongsikan di akaun fb aku sebelum aku join group ni. Pada tahun 2013, tempat aku bertugas ni buat pengubahsuaian. Aku bertugas di tingkat 2 (sehingga kini) di mana terdapat beberapa bilik yang telah lama di tutup. Menurut staff senior bilik-bilik tu merupakan operation theater dan juga labour room serta wad lama. Oh ya, dulu tempat ni hospital bersalin pada tahun 1970-an sebelum bankrupt dan dibangunkan semula pada tahun 1996 menjadi Pusat Penjagaan dan Rawatan *** (nama tempat dirahsiakan).
Suatu hari aku mendapat arahan untuk membuka bilik-bilik tersebut dan memanggil tukang cuci untuk membersihkan apa yang patut. Bilik pertama yang aku buka merupakan sebuah bilik yang menempatkan mannequin baby, incubator dan katil-katil baby. Berbagai rupa dan bentuk mannequin baby yang aku lihat. Aku pegang satu-satu sebab teruja. Bilik kedua ialah CSSD. Di mana tempat mensterilkan barang-barang prosedur. Ok, kejadian pertama berlaku di CSSD Room ini. Aku memulakan operasi menerjah bilik-bilik ini seorang diri. Memandangkan waktu siang dan sekitar jam 11 pagi. Seperti biasa apabila kita masuk ke bilik secara automatik tangan kita mencapai suis lampu di tepi pintu.
Dikacau dalam bilik
(sekadar gambar hiasan)
Aku membuka suis dan lampu menyala. Aku lihat keadaan bilik ini agak bersepah. Picagari yang telah digunakan dan terdapat darah yang sudah kering berterabur di atas lantai. Tuala wanita yang ada kesan darah pun penuh di dalam tong sampah. Aku mengandaikan situasi ketika itu seperti tempat ini diterjah pihak berkuasa dan keadaan huru hara memandangkan terlalu bersepah. Aku capai buku di atas meja. Rekod dalam buku CSSD ini ditulis pada tahun 1978! Cuba bayangkan berapa lama peralatan perubatan di dalam bilik ini terbiar. Kotor. Aku segera keluar untuk memanggil tukang cuci untuk memunggah barang ke tempat lain. Apabila aku kembali aku dapati bilik tersebut gelap. Aku segera memetik suis tetapi lampu tidak menyala. Aku menggunakan lampu suluh (memang sentiasa ada dalam poket uniform) melihat keadaan bilik tersebut. Aku dapati mentol lampu tiada.
Aku pun segera berlari keluar dan duduk di koridor wad. Aku keliru. Baru sebentar tadi bilik tersebut terang benderang. Kali kedua aku pergi mentol lampu pula tiada. Nasib baik berlaku siang hari. Kalau malam? Aku simpan seorang diri kejadian yang berlaku kerana tak mahu kawan-kawan yang lain takut. Proses pengubahsuaian berjalan dengan lancar. Banyak peralatan perubatan yang masih elok dan boleh diguna kami asingkan untuk dibersihkan. Antaranya troli ubat, troli dressing, peralatan dressing, stretcher dan katil. Kejadian kedua berlaku ketika aku dan Syeila (bukan nama sebenar) bertugas shift malam. Syeila membersihkan peralatan dressing dan menyusun semuanya di bilik belakang. Selesai semuanya dia kembali ke kaunter jururawat. Sedang kami leka menulis report tiba-tiba terdengar bunyi bising di bilik belakang. Kami segera berlari untuk melihat keadaan. Alangkah terkejutnya kami bila mendapati semua peralatan dressing berterabur di lantai seperti sengaja di tolak jatuh.
Didatangi jururawat beruniform
(sekadar gambar hiasan)
Kami saling berpandangan sesama sendiri dan terus mengutip satu persatu dan menyusunnya semula tanpa bercakap sepatah pun. Seperti masing-masing sudah memahami kenapa dan mengapa. Kejadian ketiga terjadi kepada Aisyah (bukan nama sebenar). Dia banyak mendiamkan diri. Tidak seperti sebelumnya. Suatu hari Aisyah menangis secara tiba-tiba ketika bertugas. Juliana (bukan nama sebenar) bertanya kenapa. Aisyah berkata wajah kanak-kanak di dalam lukisan yang diletakkan di kaunter tersebut berubah-ubah. Untuk pengetahuan semua, Syeila mengambil lukisan tersebut di bilik wad lama kerana cantik dan sayang untuk dibuang. Juliana segera menurunkan lukisan tersebut dan meletakkan di belakang pintu bilik staff. Kejadian keempat pula terjadi di bilik staff. Ketika bertugas shift malam, Lia (bukan nama sebenar) sedang berehat dan secara tiba-tiba didatangi seorang kanak-kanak yang meminta beliau untuk menghantar dia balik semula ke katil
Lia terkejut dan tergamam kerana tempat kami tiada pesakit kanak-kanak dan segera mengekori kelibat kanak-kanak tersebut yang menghilang di sebalik pintu bilik. Selepas sebulan, kerja pengubahsuaian wad baru pun siap. Dan tingkat kami mempunyai 3 wad baru hasil dari tapak Operation Theater, CSSD Room, Labour Room dan wad lama sebelumnya. Dan pengambilan pesakit baru giat dijalankan. Dalam beberapa minggu ada 12 pesakit baru mendaftar masuk. Dan perasmian wad baru diraikan besar-besaran. Dan pelbagai hadiah diberikan untuk pesakit yang baru mendaftar masuk. Kejadian kelima terjadi kepada aku, Syeila dan Aisyah. Kami kerap bermimpi mimpi yang sama iaitu didatangi seorang jururawat menggunakan uniform lama (skirt) berwarna putih. Dalam mimpi itu dia meminta supaya kami mengembalikan semua ‘hak’ mereka dan menutup wad-wad baru itu. Dan kami mendapati apabila staff shift malam bertugas pelbagai gangguan terjadi.
Ada perempuan belakang awak
(sekadar gambar hiasan)
Dan penampakkan jururawat beruniform lama itu semakin kerap menunjukkan dirinya. Salah satu kejadiannya aku melihat kelibat dia menolak troli dressing ke arah bilik wad sehingga menembusi dinding. Kejadian keenam pula apabila para pesakit di ketiga-tiga bilik yang menempatkan 4 orang pesakit di setiap bilik mengadu di ganggu kanak-kanak. Ada yang ditarik kaki semasa tidur, ada yang dicuit pipi ketika tidur, ada yang mengadu ada 2 orang kanak-kanak melompat-lompat di atas katil. Tak kurang juga barang peribadi mereka disorok dan dikembalikan menjelang subuh. Kami cuma tersenyum dan meminta pesakit untuk mengabaikan sahaja gangguan tersebut dan menganggap itu cuma halusinasi mereka. Sedangkan dalam hati kami Tuhan saja yang tahu dan apa yang mereka alami itu adalah benar sama sekali.
Pada suatu malam aku bertugas seperti biasa. Sekitar jam 3 pagi aku membuat rondaan di sekitar wad termasuk kubikel dan bilik. Memandangkan cuma 3 staff yang bertugas, kami membuat rondaan bergilir-gilir. Kejadian ketujuh ini juga terjadi di bilik baru tersebut. Aku mendapati seorang pesakit masih tidak tidur dan segera ke katil beliau. Matanya memandang ke atas tanpa berkelip. Aku menegur dan memanggil nama beliau tapi tiada respon. Aku mengambil keputusan untuk memanggil staff yang lain untuk mengambil bp set untuk memeriksa pesakit tersebut. Ketika aku hendak memusingkan badan tiba-tiba beliau terus memegang tangan aku dan berkata ‘ Misi, ada seorang perempuan di belakang awak. Jangan tengok dia. Tunggu sebentar di sisi saya sehingga dia pergi ‘.
Panggil ustaz dan dinasihkan pulang kembali peralatan perubatan
Aku dapat rasakan seperti seluruh badanku lemah longlai dan tiba-tiba bulu roma meremang. Aku tiada pilihan kecuali gagahkan diri untuk menekan butang kecemasan di tepi katil pesakit tersebut untuk memanggil staff yang lain. Mereka segera datang dan melihat aku terduduk di lantai. Selepas habis shift barulah aku menceritakan kejadian yg berlaku. Dan keesokkannya aku demam panas. Tidak tahan dengan gangguan yang kerap terjadi, kami mengambil keputusan untuk melaporkan kejadian yang berlaku kepada pihak atasan. Ini kerana wad kami saja diganggu selepas pengubahsuaian wad dan bilik tersebut. Seingat aku pihak atasan memanggil ustaz, sami dan paderi untuk melihat dan membuat apa yang patut. Kami di nasihatkan untuk ‘memulangkan kembali’ peralatan perubatan yang kami ambil dari tapak sebelumnya.
Dan kini dua bilik tersebut di tutup selepas 6 bulan beroperasi. Dan satu lagi digunakan sebagai Bilik Mayat. Tahun 2020 genap 9 tahun aku bertugas di wad ini. Selepas penutupan bilik tersebut gangguan agak kurang. Nak di katakan tiada langsung gangguan tak boleh juga. Hospital dan hantu tidak boleh dipisahkan. Jin dan syaitan ada di mana-mana. Setakat melihat kelibat bayi merangkak dan kanak-kanak berlari itu perkara biasa bagi kami. Bagi kami biarlah mereka bermain sebab tempat ini memang tempat mereka sebelum ini. Jangan terlalu berani dan jangan terlalu takut. Sentiasa beringat Allah SWT yang Maha Berkuasa.
Gambar di bawah itulah bilik-biliknya. Bilik 1 dan Bilik 2 sudah di tutup. Manakala Bilik 3 dijadikan Bilik Mayat dan akulah pemegang kunci dan penjaga bilik itu. Hehehehehe. Sekian. Terima kasih kerana sudi membaca coretan aku.
Sumber : Mimin Alibaba